KOTA KINABALU: Sabah ketika ini memiliki rizab kewangan atau simpanan tunai berjumlah RM6.786 bilion, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, wang berkenaan adalah simpanan kerajaan yang tidak digunakan kecuali untuk perkara tertentu yang mendesak.
Katanya, ia juga bukan wang yang digunakan untuk membayar gaji kakitangan awam negeri atau perbelanjaan lain kerajaan.
“Ini adalah satu rizab yang kita simpan atau tidak digunakan kecuali untuk hal tertentu. Ia juga tidak termasuk untuk pembayaran gaji.
“Tahun lalu, perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri hanya RM5 bilion lebih, manakala hasil negeri hampir RM7 bilion. Jadi, yang lebih dimasukkan dalam rizab,” katanya ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Jaujan Sambakong (WARISAN – Sulabayan) mengenai jumlah terkini rizab kewangan negeri.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) turut mencelah mengatakan rizab negeri ketika beliau mengetuai kerajaan negeri sebelum ini lebih RM5 bilion.
Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun, menjelaskan rizab yang diumumkan Hajiji itu adalah jumlah setakat tahun lalu.
Katanya, pendedahan jumlah rizab kewangan negeri itu bukan untuk menyatakan bahawa Sabah memiliki kewangan yang banyak tetapi sebagai pengetahuan mengenai kedudukan semasa kewangan kerajaan negeri.
“Kita beri statistik yang kita ada dan itulah yang kita ada. Jumlah itu setakat tahun lalu tapi kita akan terus bangunkan rizab kita.
“Di bawah kerajaan sekarang, kita amat ketat dalam soal penggunaan kewangan dan atas sebab itu, saya mungkin seorang Menteri Kewangan yang tidak popular.
“Tapi yang penting ialah kita mahu membina kewangan negeri yang kukuh demi generasi akan datang supaya dalam keadaan apa sekalipun, kita dapat bertahan,” katanya. – BHarian