Lebih 59,000 rakyat Indonesia mengundi Pemilu di kawasan Tawau

Heni-Hamidah.jpg

Heni Hamidah

Kongsi Bersama

TAWAU: Lebih 59,000 warga Indonesia yang berada di daerah Tawau, Kalabakan, Kunak, Semporna dan Lahad Datu bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) bermula 7 hingga 11 Febuari ini.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Heni Hamidah berkata, jumlah warga Indonesia itu berdasarkan pendataan yang dilakukan sejak tahun lalu.

Katanya, Pemilu di luar Indonesia khususnya di Sabah akan dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu memilih secara langsung di tempat pemilihan dan melalui kotak suara keliling.

“Pemilihan kotak suara keliling akan dilaksanakan pada 7 hingga 10 Febuari, manakala pemilihan secara langsung pula pada 11 Febuari ini.

“Untuk pemilihan secara langsung yang berdaftar melalui KRI Tawau ini hanya dilakukan di dua daerah iaitu di Tawau dan Lahad Datu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ketika ditemui dalam majlis makan malam bersama media, di Dewan KRI Tawau, di sini baru-baru ini.

Heni berharap proses Pemilu yang bakal dilaksanakan di Sabah kali ini berjalan lancar dan mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Saya berharap semua warga Indonesia yang layak mengundi supaya dapat menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan yang bakal menerajui negara,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan terkini, Heni berkata, pada akhir Disember lalu, pihaknya merancang untuk menjalinkan kerjasama dalam sektor pelancongan di negeri ini khususnya di Semporna.

Katanya, KRI Tawau sudah berjumpa dengan pemain industri pelancongan di Semporna supaya dapat mewujudkan kerjasama dengan pusat pelancongan terdekat di Indonesia.

“Destinasi pelancongan di Indonesia mempunyai persamaan dengan Semporna terutamanya di kepulauan Derawan Kalimantan yang juga terkenal sebagai destinasi menyelam terbaik di dunia.

“Justeru, kita harapkan pelancong luar negara yang datang ke Semporna juga dapat meneruskan destinasi pelancongan mereka ke Pulau Derawan Kalimantan,” katanya.

Mengenai majlis makan malam ini pula, Heni berkata, ia diadakan khas untuk meraikan rakan media di Tawau yang sudah lama menjadi rakan strategik KRI Tawau.

“Majlis ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, tetapi kami optimis ia merupakan kerjasama yang lebih banyak pada masa akan datang.

“Sangat berbangga kerana hubungan pengamal media di daerah ini dengan KRI Tawau sangat baik dan sudah banyak perkara yang dilaksanakan secara bersama,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top