Peserta Sugandoi, golongan muda diseru pelihara, promosi budaya Kaamatan

jahid.jpg

Datuk Jahid Jahim (empat, kiri) ketika hadir di Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran, di Dewan Masyarakat Tun Hamdan, Tamparuli pada Sabtu.

Kongsi Bersama

TAMPARULI: Para peserta Pertandingan Sugandoi Kaamatan dan golongan muda diseru memelihara dan mempromosi kebudayaan Kaamatan, serta memastikan warisan kaum Kadazan Dusun terus hidup dan berkembang dalam kalangan generasi masa hadapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, golongan kanak-kanak serta belia yang menyertai pertandingan Sugandoi harus menjadi sebahagian daripada penyumbang kelestarian budaya dan bahasa ibunda mereka sendiri agar tidak lenyap ditelan zaman.

“Justeru, saya menyeru kepada mereka yang bertanding, bukan hanya setiap kali menjelang Pesta Kaamatan, tetapi teruskanlah untuk mempelajari dan menghayati keunikan bahasa ibunda kita sendiri agar identiti budaya serta bahasa kita sentiasa terpelihara, dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran, di Dewan Masyarakat Tun Hamdan, dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, dan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Pejabat Daerah Kecil Tamparuli merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Sugandoi Peringkat Daerah Tuaran, Herman Tunggiging, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuvas @ Giswa, Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Alfian Rahim dan Hannevy Harry, dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.

Jahid yang juga Timbalan Presiden KDCA, berkata, selain menyerlahkan bakat nyanyian, dan menjadi ruang mengeratkan silaturrahim, pertandingan Sugandoi seharusnya dijadikan sebagai platform memperkukuhkan kelestarian warisan budaya tempatan.

“Sekiranya golongan muda mempelajari serta mempraktikkan bahasa ibunda di dalam kehidupan mereka, susah tentu identiti bangsa Kadazan Dusun pasti terpelihara.

“Atagak Boros, Atagak No Tinaru”.

“Jika hilang bahasa kita, maka bangsa kita juga akan perlahan-lahan lenyap tanpa diwarisi,” katanya.

Terdahulu, ADO Tamparuli, Herman Tunggiging, menghargai semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam memastikan program itu berjalan lancar.

Keputusan kelmarin menyaksikan Scholastica Ann memenangi hadiah sebagai Juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran bagi Kategori Terbuka.

Antara acara sampingan yang diadakan ialah nombor bertuah kepada seramai 500 pengunjung awal, selain membuka gerai-gerai jualan di luar dewan. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top