Sabah FC muncul juara Piala SMJ 2024

Sabah-FC-juara-SMJ.png
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah FC muncul juara Piala SMJ 2024 selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan jaringan 1-0 di Stadium Likas di sini malam tadi.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-63 menerusi sepakan penalti Ramon Machado yang diberikan pengadil Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah selepas penyerang dari Brazil itu dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Ketua Jurulatih Sabah Datuk Ong Kim Swee berkata kemenangan itu memberikan suntikan semangat buat pemainnya, bagaimanapun masih banyak yang perlu diperbaiki serta ditingkatkan menjelang perlawanan pertama Liga Super pada 12 Mei ini menentang Penang FC.

“Perlawanan sengit, intensiti tinggi dan ini penting untuk kita bawa ke perlawanan (Liga Super) pada minggu depan. Banyak kita pelajari kelemahan, kekuatan, kecederaan dan pemain diberikan peluang bermain, harap pemain pulih menjelang minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini tadi.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk menentukan kesebelasan utama dan strategi bagi aksi pertama Liga Super nanti, namun input daripada Piala SMJ 2024 akan digunakan sebaiknya untuk mempersiapkan skuad Sang Badak atau The Rhinos itu.

Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City) berkata secara keseluruhan beliau gembira dengan prestasi pemain dalam kejohanan itu dan pihaknya meraih maklumat berguna bagi persiapan pasukan untuk berdepan perlawanan Liga Super pertama 12 Mei ini bertemu Kuching City FC.

“Pemain bermain dengan baik, taktikal ok. Kesebelasan utama untuk Liga Super belum kami tentukan. Kami ada idea untuk taktik, strategi dan formasi tapi kami akan buat penilaian terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, satu lagi kelab Liga Super, Kuching City merangkul tempat ketiga apabila menumpaskan Hougang United FC 2-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di stadium sama petang semalam.

Gol Kuching City masing-masing dijaringkan Mohd Alauddin Farid pada minit ke-18 dan Jordan Mintah pada minit ke-43.

Sebagai pemenang, Sabah FC membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta Piala SMJ, manakala naib juara KL City meraih RM10,000, Kuching City (RM5,000) dan Hougang United (RM3,000). -BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top