Pampasan RM62.5 Bilion: USNO Seru Pemimpin Letakkan Kepentingan Rakyat Sabah Di Atas Segalanya

pandikarAMImULIA.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menyeru semua pemimpin-pemimpin parti politik di Sabah memfokuskan pemikiran mereka dengan meletakkan kepentingan rakyat negeri Sabah di atas segalanya.

Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia berkata, masanya telah tiba untuk pemimpin-pemimpin di negeri Sabah tanpa mengira ideologi parti,mengekang ego masing -masing, mengelakkan pergeseran pendapat antara satu sama lain yang tidak berkesudahan demi untuk kepentingan dan kemakmuran negeri Sabah dan rakyatnya yang berbilang kaum, kebudayaan dan agama.

Perebutan kedudukan dan kuasa akan menguntungkan pihak lain yang mempunyai agenda politik pecah dan perintah, katanya yang juga mantan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berita yang  tersebar luas di media sosial kononnya Malaysia perlu membayar kepada pewaris Sultan Sulu sejumlah RM62 bilion.

Kewajaran untuk membayar ini dizahirkan oleh satu badan timbangtara di negara Sepanyol ekoran dari suatu tindakan undang-undang oleh pewaris Sultan Sulu terhadap negara Malaysia.

Kononnya, ini adalah akibat pelanggaran perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik Syarikat British Borneo Utara.

Penimbangtara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan pembayaran itu semasa perbicaraan di Mahkamah Arbitrasi di Paris Perancis.

“Setahu kami rakyat Negeri Sabah yang merdeka sejak 1963 melalui Malaysia,soal tuntutan negara Filipina terhadap negeri Sabah yang disandarkan kepada kaitan sejarah Sultan Sulu dan penjajah dahulu, telah bertahun-tahun disedari oleh pihak-pihak yang berwajib di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Akan tetapi sehingga isu pampasan lebih RM62 bilion ini tercetus, tidak ada tindakan tuntas dan tegas dari mereka yang berwajib di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu tuntutan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak-pihak yang berwajib di peringkat kerajaan Persekutuan wajar mengambil iktibar kepada apa yang berlaku dalam kes Pulau Batu Puteh yang jaraknya cuma 7.5 batu dari Negeri Johor dan 25 batu dari Singapura.

Beberapa tahun yang lalu, rakyat Malaysia terkejut dengan kehilangan Pulau Batu Puteh-sebuah pulau miliki Malaysia mengikut sejarah. Dalam isu pertikaian di antara negara mana yang memiliki Pulau Batu Putih, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa pulau Batu Putih adalah milik Singapura.

Menurutnya, majoriti rakyat negeri Sabah kini khuatir dan tertanya-tanya “Dapatkah negara Malaysia mengatasi isu pampasan lebih RM62 bilion ini?”

Dalam erti kata lain, apakah negara Malaysia dari sudut perundangan mempunyai alasan untuk tidak dipaksa membayar pampasan berkenaan.

“Adalah suatu malapetaka yang besar yang akan menimpa rakyat negeri Sabah sekiranya permasalahan ini tidak dapat ditangani.

“Dengan membayar lebih RM62 bilion kepada pewaris Sultan Sulu, adalah sama seperti negara Malaysia menjual hak-hak rakyat negeri Sabah kepada kuasa asing,” ujarnya.

Katanya lagi, dalam isu pampasan RM62 bilion ini, parti USNO  berpendirian bahawa adalah lebih baik wang sejumlah itu, dihadiahkan kepada rakyat Negeri Sabah daripada membayar pewaris  Sultan Sulu.

“Ini adalah kerana rakyat negeri Sabahlah yang lebih berhak untuk diberikan pampasan daripada mana-mana pihak termasuk pewaris Sultan Sulu.”

“Dengan jumlah wang tersebut, rakyat negeri Sabah akan dapat menggunakannya untuk membangunkan negeri Sabah di samping dapat menjaga dan mempertahankan kedaulatannya sebagai sebuah negara yang merdeka sejak tahun 1963,” tambah beliau.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top