Kes kanak-kanak perlukan perlindungan: Sabah di kedudukan tiga teratas

nancy.jpg

Datuk Seri Nancy Shukri (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah merupakan antara tiga negeri teratas di negara ini yang mencatatkan bilangan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan tahun lalu.

Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 2022 menunjukkan Sabah merekodkan 705 kanak-kanak – 152 lelaki dan 553 perempuan, yang memohon perlindungan.

Jumlah tertinggi dicatatkan di Selangor, dengan 1,691, diikuti Kuala Lumpur (961). Jumlah keseluruhan kanak-kanak yang didera atau diabaikan di negara ini berjumlah 6,770 orang pada tahun lepas.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, 333 kes melibatkan penderaan fizikal, seksual dan emosi serta kecuaian kanak-kanak telah dilaporkan dan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sabah.

Ini adalah daripada 2,959 kes yang direkodkan di seluruh negara.

Bagi tujuan ini, Kementerian sedang giat menjalankan program advokasi di seluruh negara. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata program itu bertujuan untuk menggerakkan anggota masyarakat termasuk ibu bapa, guru dan penduduk serta kanak-kanak bagi menangani isu perlindungan kanak-kanak.

“Saya ingin menekankan kepentingan masyarakat untuk melindungi kanak-kanak,” katanya pada majlis pelancaran program advokasi perlindungan kanak-kanak, di SK Malawa, di sini, pada Isnin.

“Sejak akhir-akhir ini, hampir setiap minggu kita mendengar atau membaca berita mengenai kes penderaan dan kecuaian kanak-kanak.

“Ini menyentuh hati saya sebagai seorang ibu dan menteri yang bertanggungjawab untuk kebajikan kanak-kanak di Malaysia.

“Kementerian mahu kanak-kanak tahu hak mereka. Pada masa yang sama, Kementerian mahu ibu bapa dan masyarakat sedar apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kepada mereka.”

Program advokasi perlindungan kanak-kanak adalah platform untuk masyarakat setempat khususnya guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bertindak sebagai mata dan telinga kepada Kementerian dalam membantu mencegah peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

KPWKM akan terus mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan kesinambungan dan keberkesanan advokasi ini di sekolah di seluruh negara.

Program advokasi itu memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang hak mereka. Sekiranya didera, mereka boleh mendapatkan bantuan segera dengan menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau melalui WhatsApp di talian 019-2615999.

Nancy juga berharap program itu akan diteruskan di sekolah-sekolah di seluruh Sabah untuk mencapai status sifar penderaan dan pengabaian kanak-kanak di negeri ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top