Sabah Perlu RM13 Bilion Atasi Masalah Bekalan Air – Bung Moktar

bung-6.jpg
Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Kerajaan Negeri memerlukan peruntukan  RM13 bilion bagi memperbaiki kemudahan  bekalan air bersih di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah I Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata peruntukan itu adalah usaha untuk mempertingkatkan kualiti bekalan air di negeri ini.

“Masalah air bersih di Sabah amat kritikal ekoran 23 loji air di negeri ini yang perlu dibaikpulih dan dipindahkan, menganti paip baharu, baikpulih kebocoran paip dan lain-lain,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata muka sauk rawatan air  juga perlu dipindahkan kerana masa dibina dahulu di mana sungai berkenaan masih elok dan setelah berpuluh tahun telah berlakunya pencemaran sungai akibat penebangan pokok dan aktiviti manusia yang tidak terkawal.

“Hampir 23 buah sungai yang mempunyai loji rawatan air di Sabah  berlaku pencemaran demikian,”  jelasnya.

Bung Moktar telah mengarahkan Pengarah JKR dan Pengarah Jabatan Air mengemukakan spesifikasi kes demi kes untuk dibentangkan kepada kerajaan agar  memastikan rakyat menikmati air bersih lebih baik.

Beliau berkata demikian selepas melawat sauk rawatan air Batu Putih, hari ini.

Dalam lawatan di Loji Rawatan Air Batu Putih, Bung Moktar berkata saluran paip air bersih  dari Loji Rawatan Air Batu Putih Kinabatangan ke Kampung Paris sejauh 37 kilometer mengalami kebocoran.

“Rakyat di Kampung Paris tidak dapat menikmati air bersih sedangkan air ini dari Kinabatangan,” katanya.

Beliau telah meminta Pengarah JKR  dan Jabatan Air untuk mencari peruntukan bagi membaikpulih paip-paip mengalami kebocoran yang kritikal.

“Kos keseluruhan baikpulih paip bocor  memerlukan RM10 juta. Sekiranya ada peruntukan RM1 juta atau RM2 juta boleh membaikpulih kebocoran yang teruk.

“Kemudiannya kita akan sambung lagi kerja baikpulih paip yang bocor lain,” katanya.

Bung Moktar berkata paip air di Sabah ini ada yang dibina sejak zaman British dan ini perlu ditangani dengan segera untuk kepentingan rakyat nikmati air bersih.

“45 peratus masih lagi menggunakan paip lama di negeri ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu akibat kebocoran paip air telah menyebabkan   kerajaan mengalami kerugian setiap tahun.

“Kerajaan perlu membina baharu muka sauk rawatan air, kolam  takungan air  dan lain-lain dengan  memerlukan jumlah keseluruhan RM13 bilion,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top