KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Ben Chong menggesa Kerajaan Sabah mempertimbangkan untuk menukar gelaran ketua menterinya kepada ‘premier’, seperti yang dilakukan oleh Sarawak, kerana ia akan mencerminkan status negeri ini sebagai rakan kongsi yang sama rata dalam pembentukan Malaysia pada 1963.
Menurut laporan Harian Ekspress hari ini, Chong berkata beliau berharap perubahan itu dapat dibuat bersama dua rang undang-undang (RUU) lain yang akan dibentangkan di dewan undangan negeri pada Julai.
Yang pertama RUU mengehadkan ketua menteri memegang jawatan kepada dua penggal , manakala yang satu lagi bagi menggantikan gelaran “pembantu menteri” dengan “timbalan menteri”.
“Sudah tiba masanya untuk Sabah memaklumkan bahawa statusnya berbeza dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu,” kata ADUN Gagasan Rakyat itu.
Chong berkata negara Komanwel lain seperti Australia dan Kanada sudah pun mengikut protokol ini, di mana perdana menteri adalah pemimpin yang dipilih negara itu dan wilayah di dalamnya diketuai oleh seorang ‘premier’.
Cadangan Chong itu disokong oleh Timbalan Ketua Gagasan Rakyat Kiulu yang berpendapat langkah menamakan semula jawatan ketua menteri kepada ‘premier’ bukanlah melebih-lebihkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor atau penggantinya, tetapi untuk menyatakan pendirian bahawa Sabah berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung
“Ia juga akan mencerminkan kesungguhan kerajaan Sabah untuk meneruskan hak dan statusnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” kata Teo.