Jawatan Presiden, Timbalan Presiden: MKT UMNO Belum Buat Ketetapan Dipertandingkan Atau Tidak

aHMADMASLAN.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum membuat keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan akan datang.

Berita Harian dalam laporannya hari ini memetik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai berkata, perkara itu mungkin diputuskan pada Mesyuarat MKT Khas yang akan diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung iaitu pada malam 12 Januari nanti.

“Perkara itu (sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan) kita perlu tunggu. Setakat ini, tidak sebarang keputusan mengenainya dibuat.

“Namun saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, kerana kita masih ada masa sebelum PAU diadakan bulan depan.

“Kita tunggulah, Januari nanti MKT UMNO ada mesyuarat bulanan seperti biasa dan satu lagi kita ada Mesyuarat Khas MKT yang secara tradisinya akan diadakan pada malam sebelum PAU diadakan.

“Mesyuarat Khas MKT kali ini akan diadakan pada malam 12 Januari sebelum PAU diadakan keesokannya. Jadi, mungkin malam itu akan diputuskan mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, di Api-Api, hari ini.

Semalam, EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, dilaporkan berkata UMNO akan menempah episod hitam sekali lagi jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan.

Kata beliau, kedua-dua jawatan berkenaan wajar dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Tambahnya, sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, UMNO akan semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

Pada 8 Disember lalu, UMNO dilaporkan menafikan terdapat sebarang perbincangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pontian dilaporkan berkata, isu itu juga langsung tidak berbangkit atau dibincangkan pada Mesyuarat MKT yang diadakan pada 7 Disember lalu.

Sehubungan itu, Ahmad mengecam penularan infografik, kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan ditandingi yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus menimbulkan keresahan akar umbi parti.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top