KENINGAU: Upacara Sogit Batu Sumpah telah dijalankan di Perkarangan Batu Sumpah Keningau, pada Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, acara tersebut merupakan upacara berkaitan penyelesaian atas isu penghinaan kepada Unduk Ngadau dan adat budaya yang berlaku tahun lalu.
“Kita telah menerima penyelesaian di antara yang terlibat dan telah diakui oleh Mahkamah Adat di Penampang serta semua tujuh kelompok adat bersetuju menerima permohonan maaf daripada pesalah dan penyelesaian adat ini diikuti dengan denda adat tujuh ekor kerbau.
“Kenapa tujuh ekor kerbau? Kerana kita mempunyai tujuh kelompok adat dan ianya dijalankan pada tahun ini bersempena hari kaamatan dalam memastikan adanya keharmonian dan jalankan dengan suasana yang baik serta memperkukuhkan perpaduan antara satu sama yang lain,” ujarnya.
Jeffrey turut menasihati masyarakat agar penghinaan sedemikian tidak berlaku lagi ke atas Adat Budaya, Unduk Ngadau dan apa-apa yang berkaitan dengan budaya orang asal terutama sekali Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) dan berkaitan dengan Pesta Kaamatan kerana ini melanggar adat istiadat KDMR.
“(Kita) Haruslah saling-menghormati sesama dan jangan menghina adat istiadat kaum orang asal begitu juga terhadap kaum lain yang perlu dihormati oleh setiap masyarakat,”katanya kepada media selepas Upacara Sogit Batu Sumpah selesai.
Dalam program tersebut, Jeffry turut menjelaskan tujuh ekor kerbau diberikan kepada daerah Kota Marudu, Ranau, Keningau, Beluran, Tambunan dan Penampang.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah ll merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman dan Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson. – Jabatan Penerangan Sabah