Kenaikan gaji: Penjawat awam lega penantian 12 tahun berakhir – CUEPACS SABAH

penjawat-awam.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengumuman kenaikan gaji lebih 13 peratus memberikan kelegaan kepada penjawat awam yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup di Sabah.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sabah Ajulahin Japin berkata penantian selama 12 tahun penjawat awam di negeri ini berakhir dengan berita gembira diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

“Kita perlu berterima kasih atas pengumuman Perdana Menteri. Ini merupakan antara kenaikan tertinggi. Cadangan dikemukakan CUEPACS dan hasil beberapa sesi libat urus kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap dapat dilaksanakan segera.

“Gaji minimum (ditetapkan untuk penjawat awam) tidak kurang RM2,000 juga menghampiri penanda aras upah sara hidup (living wage) diletakkan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu pada RM2,700. Kita harap kerajaan sentiasa memantau kerana upah sara hidup ini juga meningkat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada sambutan Hari Pekerja 2024 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya kelmarin, Anwar mengumumkan kenaikan tersebut yang merupakan antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Anwar berkata di bawah SSPA yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam ialah RM1,795 sebulan.

Sementara itu, Ajulahin berkata CUEPACS Sabah juga mengharapkan kajian SSPA memberi perhatian dan keutamaan kepada pelarasan gred jawatan bermula gred 19 dan kenaikan gaji tahunan gred terendah pada tahap RM180.

Beliau berkata pihaknya juga memohon tempoh untuk kenaikan pangkat dipendekkan dan ditambah lapisan kepada 10, lapan dan enam tahun.

Sementara itu, Sylvia Sogunting, 36, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang berkata kenaikan itu akan memberi motivasi kepada penjawat awam untuk terus melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang dan melipatkan gandakan usaha.

“Sebagai pejawat awam, ini satu berita yang ditunggu-tunggu… kita perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana begitu prihatin dengan penjawat awam,” katanya.

Seorang lagi guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Darau Jomilin Sibin, 48, berkata kenaikan gaji berkenaan memberi manfaat besar kepada penjawat awam.

“Kenaikan gaji ini adalah besar dan sudah semestinya ia akan memberi galakan untuk penjawat awam lebih gigih menjalankan tugas,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top