Parti komponen GRS sokong tukar ‘ketua menteri’ kepada ‘premier’

hj-ruslan-n-david.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Beberapa komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP), menyatakan sokongan terhadap cadangan untuk menukar gelaran ketua menteri Sabah kepada “premier”.

Daily Express melaporkan antara yang menzahirkan sokongan itu ialah Naib Presiden PBS, Datuk Ruslan Muharam (gambar, kiri).

“Saya menyokong cadangan itu untuk menunjukkan kedudukan Sabah sebagai ‘rakan kongsi’ dalam pembentukan Malaysia, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Adun Lumadan itu berkata ini akan menggambarkan dengan tepat status Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia.

“Difahamkan perkara ini akan dibentangkan pada persidangan DUN pada Julai ini, bersama tiga rang undang-undang lain,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden LDP David Ong (gambar, kanan) berkata cadangan itu mencerminkan kepentingan sejarah Sabah, manakala pertukaran gelaran jawatan itu akan membuktikan identiti sejarah dan politik Sabah, dan memelihara serta mempromosikan keistimewaannya di Malaysia.

“Ia bukan semata-mata soal semantik tetapi satu langkah penting ke arah mengesahkan tempat Sabah yang sah dalam Malaysia. Ia juga menekankan komitmen Sabah untuk menegakkan haknya dan menuntut kepentingannya di bawah MA63.

“Selain itu, ia selaras dengan piawaian antarabangsa sebagaimana di negara Komanwel seperti Australia dan Kanada dan meningkatkan kedudukan Sabah di pentas global.

“Istilah ‘premier’ membawa konotasi autonomi dan kepimpinan, sesuai dengan kedudukan Sabah sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan bukan satu daripada 13 negeri di Malaysia,” katanya.

Pada Isnin, ADUN Tanjong Kapor Ben Chong menggesa kerajaan Sabah mempertimbangkan pertukaran gelaran ‘ketua menteri’ kepada ‘premier’ sebagaimana dilakukan di Sarawak pada 2022.

Beliau berkata beliau berharap perubahan itu dapat dibuat bersama dua rang undang-undang lain yang akan dibentangkan di DUN Sabah pada Julai.

Yang pertama mengehadkan ketua menteri kepada dua penggal memegang jawatan, manakala yang satu lagi bagi menggantikan gelaran “pembantu menteri” dengan “timbalan menteri”.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top