KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares; Back to School 2023 @ Sabah yang memanfaatkan lebih 400 pelajar.
Sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi program yang memanfaatkan 449 pelajar dari 14 sekolah di dua kawasan iaitu Penampang dan Kadamaian.
Setiap pelajar menerima sumbangan berupa beg sekolah, bekas bekal makanan, alat tulis dan subsidi pakaian seragam untuk persiapan bagi sesi persekolahan baharu.
Penerima sumbangan terdiri daripada 149 pelajar dari kawasan Penampang iaitu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Longkogungon, SK Terian, SK Buayan dan SK Tampasak Togudon.
Manakala 300 pelajar lagi adalah dari 10 sekolah di kawasan Kadamaian.
Majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar dari Penampang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Ewon berkata, inisiatif UDA ini mencerminkan komitmen Kementerian dan agensi dalam membantu komuniti memerlukan.
“Usaha seumpama ini harus dijadikan contoh serta menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat swasta lain menyantuni komuniti kurang bernasib baik,” katanya.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany berkata, program UDA Cares; Back to School 2023 pada tahun ini memberi pendekatan baharu dengan menyantuni komuniti di Sabah.
“Program tahunan ini turut diadakan di Johor, Pulau Pinang dan Kedah. Penganjuran program ini langkah proaktif UDA bagi menyumbang kembali kepada komuniti di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka membuat persiapan kembali ke sekolah pada bulan Mac akan datang.
“Usaha ini selari penjenamaan baharu UDA iaitu LIFE yang menterjemahkan komitmen kami memberi kehidupan lebih baik kepada komuniti seterusnya meniupkan semangat baharu kepada semua pelajar,” katanya.- HMetro