Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah komited lindungi hak Sabah

Datuk-Nor-Asiah-Mohd-Yusof.jpg

Datuk Nor Asiah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah komited dalam melindungi hak Perlembagaan Negeri Sabah khususnya berkaitan dengan peruntukan Pemberian Khas 40 peratus seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof menegaskan, pihaknya secara aktif mengambil bahagian dalam semua perbincangan berkaitan perkara itu bersama-sama Kementerian Kewangan Negeri Sabah serta kerajaan Persekutuan.

Pihaknya juga menyokong kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang menegaskan pendirian negeri untuk mempertahankan hak perlembagaan dan terus memperjuangkan semua hak Sabah seperti yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah turut memainkan peranan penting dalam rundingan ini bagi memastikan tuntutan adalah berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Negeri Sabah.

“Usaha dilakukan ini supaya kerajaan Persekutuan mematuhi formula perkongsian hasil seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, perkara berkenaan termasuk tuntutan semula pampasan untuk ‘tahun-tahun yang hilang’ dari 1974 sehingga sekarang memandangkan tiada sebarang usaha semakan semula dilakukan terhadap geran khas berkenaan.

Selain itu pihaknya menghormati tindakan prosiding undang-undang yang dibuat oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS)dan menyifatkan ia sebagai hak mereka untuk memohon semakan kehakiman mengenai perkara itu.

Katanya, litigasi kepentingan awam penting bagi menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan yang saksama.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membetulkan sebarang kenyataan yang salah dan terpesong daripada pendirian rasmi negeri ini.

“Tanpa mengira keputusan di Mahkamah Rayuan, Sabah mengekalkan tuntutan rasmi bahawa kerajaan Persekutuan perlu memenuhi kewajipan undang-undang dan perlembagaan berkenaan dengan geran khas itu.

“Hak kewangan ini berasal dari dalam rundingan pra-pembentukan Malaysia dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah hak Sabah yang tidak boleh dirunding.

“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah memberi jaminan kepada rakyat Sabah untuk terus menuntut semua hak yang sepatutnya kepada negeri ini berlandaskan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top