Shahelmey Digantung Enam Tahun, Kata Bung

shahelmey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Selepas hampir dua bulan menanti status keahlian dalam UMNO, nasib Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya akhirnya terjawab.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini memaklumkan keahlian Shahelmey dalam UMNO digantung selama enam tahun.

Ini bermakna Shahelmey tidak boleh bertanding di bawah payung UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bagi mempertahan kerusi Parlimen Putatan.

Walau bagaimanapun, Bung Moktar tidak memberi maklumat terperinci mengenai penggantungan keahlian Shahelmey tersebut.

Shahelmey kena suspend (gantung) enam tahun,” katanya semasa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan hari ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah telah menghadiri mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO pada 24 Februari lalu namun, sehingga kini belum dimaklumkan tentang keputusan mesyuarat tersebut.

Pada 6 Januari lalu, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat bersama tiga lagi ADUN UMNO telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Tindakan empat ADUN UMNO itu bertentangan dengan keputusan Bung Moktar dan sebahagian pemimpin UMNO Sabah yang mengumumkan menarik sokongan daripada Ketua Menteri dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tiga ADUN itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk).

Namun pada 21 Februari lalu, ketiga-tiga ADUN tersebut mengumumkan keluar UMNO bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Setakat ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum mengumumkan secara rasmi mengenai status mahupun kedudukan Shahelmey dalam UMNO. – UTUSAN

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top