PETALING JAYA: Seorang menteri Sarawak menyelar cadangan menguatkuasakan tindakan dalam sektor awam yang mengambil mudah arahan pemerkasaan bahasa Melayu, sebagai “mengarut dan bodoh”.
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perdagangan, perniagaan dan komunikasi.
“Bahasa Inggeris merupakan bahasa rasmi kedua dan ia digunakan secara meluas penjawat awam di negeri ini dan di Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada FMT.
Menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan itu, berkata penjawat awam sepatutnya digalak menggunakan “bahasa Inggeris dengan betul”, bukannya dikenakan tindakan untuk itu.
“Menguasai bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang bukan warga Malaysia atau hilang kemelayuannya,” katanya.
Karim mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali kerana menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak yang mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu.
Zuki berkata, langkah itu sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, bahawa bahasa Melayu bukan sahaja akan diperkasakan di negara ini, malah digunakan di peringkat antarabangsa.
Cadangan itu mengundang kritikan daripada bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz, yang melabelkan langkah itu sebagai “dasar mundur”, manakala seorang lagi bekas menteri sama, Datuk Darell Leiking, mahu Sabah dikecualikan daripada dasar berkenaan.
Kumpulan G25 yang merangkumi bekas pegawai kanan kerajaan, juga mengkritik Zuki, sambil menegaskan menjadi keperluan mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris kepada negara ini. – FMT