Sabah Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Isu Tenaga Buruh, Bahan Mentah

hajiji-4.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan tenaga buruh dan pengurusan bahan mentah di Sabah, kata Ketua Menteri. Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti sekali gus mencari penyelesaian kepada masalah tenaga buruh serta kekurangan bahan mentah di Sabah.

“Baru-baru kita dapat mendengar isu pengambilan buruh dari negara-negara lain termasuk Indonesia agak berkurangan terutama dalam bidang perladangan.

“Jadi di peringkat negeri, kita telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk melihat perkara ini kerana, apabila isu buruh ini tidak dapat diatasi memang ia akan menjejas pertumbuhan ekonomi kita terutama yang bekerja di ladang-ladang dan juga di sektor pembinaan.

“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat negeri bagi menangani isu ini termasuklah bahan mentah yang sekarang ini ada yang susah diperolehi dan menyebabkan harga barangan naik melonjak,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri untuk menangani masalah tenaga buruh dan kenaikan kos bahan mentah di Sabah.

Menurut Hajiji, jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Kementerian Pertanian dan Perikanan, Kementerian Pembangunan Perindustrian, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Rubin Balang (GRS-Kemabong) yang bertanya tentang pendekatan kerajaan negeri untuk meningkatkan ekonomi rakyat serta negeri, Hajiji berkata pelbagai usaha dilakukan untuk menarik pelancong bagi meningkatkan ekonomi telah membuahkan hasil.

Katanya, Sabah menerima peningkatkan kemasukan pelancongan yang ketara untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu 558,169 orang berbanding 102,965 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

“Ini menunjukkan kadar peningkatan jumlah pelancong sebanyak 442 peratus. Saya yakin, angka ini akan meningkat lagi menjelang hujung tahun ini berikutan pembukaan pintu masuk darat, laut dan udara.

“Dengan kehadiran pelancong ini sudah tentu sektor perkhidmatan dan yang terkait seperti hotel, pengangkutan dan makanan akan cepat pulih seperti biasa. Ini juga membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan negeri memulihkan ekonomi menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top