Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Dato’ Sri (Dr) Ruddy Awah dipilih menjadi Presiden Persatuan Kimaragang Sabah (PKS) yang baharu untuk Sesi 2022-2024.
Melalui kenyataan ringkas di media sosial miliknya, beliau menjelaskan pelantikannya sebagai presiden dibuat semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada sabtu lalu di Kota Marudu.
“Bekas Presiden dan Timbalan Presiden PKS yang lepas kini bertindak sebagai penaung dan penasihat. Komposisi jawatan lain pula mengambil kira keseimbangan etnik Kimaragang di seluruh Sabah. Ini membolehkan PKS mampu mendepani cabaran mendatang dengan lebih ampuh.
Ruddy yang juga Pembantu Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Sabah mengucapkan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Dato Baintin Adun dan rakan-rakannya yang telah mengasaskan dan berjaya membawa PKS ke satu tahap yang membanggakan.
“Selaku Presiden PKS yang baharu, bersama pasukan kepimpinan baharu, ahli persatuan dan etnik Kimaragang secara menyeluruh, kami berusaha untuk mempastikan PKS menjadi nadi kepada perkembangan etnik Kimaragang yang terus holistik.
“Antaranya kesinambungan bahasa serta budaya Kimaragang, kecemerlangan akademik dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.