RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan Babit MA63 Dibentang Akhir Bulan Ini

Wan-Junaidi.jpg

Dr Wan Junaidi (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan bertujuan memasukkan peruntukan sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka dibentangkan di Parlimen, pada 26 Okt ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan garis masa ditetapkan kementeriannya, beliau berharap pada tarikh berkenaan bacaan kali pertama dapat dilaksanakan, manakala bacaan kali kedua, pada 28 Okt ini.

Wan Junaidi berkata, ketika Pejabat Peguam Negara meneliti peruntukan undang-undang berkenaan, pihak kementerian sudah mengambil langkah libat urus membabitkan pemegang taruh seperti Ahli Parlimen, kepemimpinan Sabah dan Sarawak, termasuk Peguam Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini, inisiatif terbabit mendapat sokongan daripada Ketua Menteri Sabah Hajiji Md Noor. Manakala, perbincangan rasmi bersama Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg, akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Bergantung kepada proses libat urus berkenaan, Wan Junaidi mensasarkan mesyuarat khas membabitkan MA63 akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 21 Okt ini, disusuli pembentangan kertas kerja khas MA63 kepada Ismail, termasuk Jemaah Menteri, pada 22 Okt ini.

Beliau berkata, berdasarkan garis masa tentatif kementerian, Pejabat Peguam Negara dijadualkan selesai meneliti rang cadangan undang-undang terbabit untuk dibentangkan kepada Ahli Parlimen, dijangka pada 25 Okt ini.

Wan Junaidi berkata, penjelasan membabitkan pindaan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan adalah penting bagi memberi perincian terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak, termasuk rakyat terutama penduduk asal kedua-dua negeri berkenaan.

“Selama bertahun-tahun hak Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA63 terhakis, Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan meminda beberapa peruntukan penting dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top