Penambahan kerusi sehingga 35 peratus bagi wakil Sabah dan Sarawak terus diperjuangkan

sharifah-hasidah.jpg

Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memperjuangkan tuntutan penambahan kerusi sehingga 35 peratus bagi wakil Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) itu berkata, di bawah Laporan Jawatankusa Antaran Kerajaan (IGC), Bab 1, perenggan 3, jelas menyatakan hasrat penubuhan jawatankuasa ini untuk melaksanakan pengaturan perlembagaan masa depan termasuk perlindungan untuk kepentingan khas Sabah dan Sarawak.

Perkara tersebut katanya, juga meliputi kebebasan beragama, pendidikan, perwakilan di Parlimen, kedudukan kaum peribumi, kawalan imigresen, kewarganegaraan dan Perlembagaan Negeri.

“Kertas cadangan untuk menambah bilangan kerusi wakil rakyat Sarawak di Parlimen telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Rakan Sekutu (JKRS) pada 23 Ogos 2022 yang dipengerusikan oleh menteri undang-undang ketika itu.

“Susulan pertukaran kerajaan persekutuan, Kerajaan Sarawak meneruskan tuntutan itu di bawah Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) yang baru ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato Dennis Ngau (GPS-Telang Usang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Rabu.

Sharifah Hasidah berkata, mesyuarat pertama MTPMA63 telah diadakan pada 20 Januari tahun lalu dan telah diputuskan bahawa perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam jawatankuasa kerja yang diketuai Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

Untuk makluman, Jawatankuasa Kerja telah bermesyuarat sebanyak dua kali dengan kertas jawatan sekali lagi dibentangkan dan dibincangkan.

“Keputusan mesyuarat kemudiannya akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal akan datang yang sekali gus dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar tuntuan Kerajaan Sarawak ini dapat dipenuhi bagi memastikan perwakilan yang seimbang di Parlimen selaras dengan semangat dan tujuan asal penubuhan Malaysia pada 1963. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top