PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara untuk meneliti dan memperincikan pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.
Menurutnya, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan menikmatinya.
“Saya beri tempoh dua minggu untuk mencerakin, menyelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya untuk meringankan beban rakyat miskin,” katanya pada sidang media.
Menurutnya lagi, implikasi subsidi perlu diteliti kerana ia tidak bersasar ketika ini dengan turut dinikmati golongan kaya dan industri.
“Saya tidak ada masalah dengan subsidi untuk rakyat, (namun) subsidi harus bersasar, jika tidak harga minyak sebagai contoh, dimanfaatkan oleh golongan miskin dan kaya,” katanya.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat.
Hadir sama dalam mesyuarat itu, Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Selain itu, mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Jumaat lalu, dalam sidang media pertamanya selepas memulakan tugas rasmi, Anwar menegaskan isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan perpaduan pimpinannya demi mengurangkan beban rakyat.
Sementara itu, Anwar menzahirkan rasa bangga dengan komitmen penjawat awam yang sanggup menghadiri mesyuarat walaupun dalam notis singkat.
Menurutnya, mesyuarat dihadiri pemimpin kementerian berkaitan itu mengorak satu permulaan baik.
“Saya zahirkan kebanggaan saya sikap penjawat awam yang sering kali tidak dihargai masyarakat,” katanya. – FMT