Khairul Firdaus Serah Pada Mahkamah Tentukan Kedudukan

khairul-firdaus.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan kekal dengan pendirian berada di pihak yang benar berhubung kedudukannya bersama tiga lagi Ahli Parlimen dari Sabah yang dipertikaikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut Hmetro Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, beliau yakin dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen yang sah walaupun Bersatu mendakwa kerusi diduduki mereka sudah dikosongkan atas alasan melompat parti.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu diserahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan selepas Bersatu memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung status mereka sebagai Ahli Parlimen.

“Mereka (Bersatu) ada hujah mereka sendiri dan saya juga ada hujah saya sendiri berhubung perkara ini, jadi kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Bola In The City With Sabah FC, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan Bersatu menerusi Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam parti itu yang memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadapnya bersama empat lagi individu.

Bersatu menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Permohonan semakan kehakiman itu berkaitan dengan keputusan Johari yang sebelum ini menyatakan keempat-empat Ahli Parlimen terbabit yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Oktober lalu kekal sebagai Ahli Parlimen yang sah.

Sebelum itu, Bersatu memohon empat kerusi disandang mereka diisytiharkan kosong kerana didakwa keluar daripada Bersatu selepas memenangi kerusi masing-masing atas ‘restu’ parti itu pada PRU-15 walaupun menggunakan lambang GRS.

Tindakan itu berkaitan dengan undang-undang anti lompat parti yang dikuatkuasakan sejak 5 Oktober lalu.

Khairul Firdaus berkata, beliau yakin dengan kedudukan kerusi Batu Sapi yang dimenanginya atas tiket GRS dan tidak mahu kehilangan kerusi berkenaan.

“Saya tetap dengan pendirian saya berada di pihak yang betul. Kalau tidak saya akan kehilangan kerusi,” katanya.

Sebelum ini, mereka mendakwa sudah keluar daripada Bersatu sebelum PRU-15 dan menjadi ahli langsung GRS, seterusnya bertanding atas tiket parti gabungan berkenaan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top