TUARAN: Kerajaan negeri Sabah masih belum memutuskan sama ada akan mengisytiharkan cuti khas pada Jumaat (18 Nov) – sehari sebelum mengundi – seperti yang dilakukan beberapa negeri lain, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Menurut beliau perkara itu akan dibawa ke Kabinet negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita akan fikirkan dulu. Jangan tergesa-gesa untuk mengumumkannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, cuti khas sebagai tanda kesyukuran juga akan dipertimbangkan selepas pengundian sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.
“Kalau kita menang besar di Sabah, kenapa tidak (beri cuti selepas PRU15)?
“Percutian itu akan menjadi ucapan terima kasih kami kepada rakyat dan pengundi yang mahukan keadaan politik dan kerajaan yang stabil,” katanya.
Sebelum ini beberapa negeri telah mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti khas untuk memberi laluan kepada pengundi melaksanakan hak demokrasi mereka dengan lebih mudah.
Negeri-negeri itu adalah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – ketiga-tiganya diperintah Pakatan Harapan (PH).