KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh menyelar tindakan biadab Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai ‘Pakatan Korup’ dan sekali gus mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi UMNO.
Susulan itu Akmal menggesa Pua agar mencermin dirinya sendiri kerana beliau hanya tin kosong yang tidak memberi manfaat kepada pembangunan negara.
“Jangan dek kerana tindakan biadab seorang individu seperti Tony Pua akan mengakibatkan keharmonian dan persefahaman yang ingin dibentuk tergendala dan berhenti di tengah jalan.
“Tony Pua harus belajar bahawa kehadiran UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan adalah aset penting dalam memastikan nasib dan igauan ngeri orang Melayu ketika 22 bulan di zaman PH tidak kembali berulang.
“Selain itu juga, kepakaran dan pengalaman menteri BN ketika ini juga yang menjadi faktor penting kepada kelancaran pentadbiran YAB Perdana Menteri ke Sepuluh.
“Pergerakan Pemuda menuntut Parti DAP agar mengambil tindakan tegas kepada Tony Pua,” kata Dr Akmal menerusi kenyataan Facebooknya, malam tadi.
Sumber: Suara TV