JPJ Setuju Plat ‘SMJ’ Khas Untuk Kenderaan Kerajaan Sabah

CM-lamag.jpg

Haiji berucap pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau-Lamag. (Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor)

Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju menjadikan cogan kata rasmi Sabah ‘Sabah Maju Jaya’ (SMJ) sebagai nombor plat khas kenderaan kerajaan Sabah.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa SMJ kini bukan saja diiktiraf di peringkat negeri malah di peringkat kerajaan Persekutuan melalui JPJ.

“Baru-baru ini apabila saya berjumpa dengan Pengarah JPJ Sabah, mereka bersetuju supaya plat SMJ dikhaskan untuk kereta kerajaan Sabah.

“JPJ mengkhaskan plat SMJ kepada kerajaan negeri sebagai pengiktirafan bahawa ia adalah satu hala tuju yang baik untuk Sabah,” katanya pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau-Lamag di Dataran Pekan Sukau, pada Sabtu.

Menurutnya, inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan SMJ dalam pelan pembangunannya adalah untuk memartabat dan memperkasakan lagi cogan kata Sabah yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan negeri ini.

“Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif dan cakap SMJ jalan berlubang, SMJ air tiada.

“Inilah yang dilakukan pembangkang hari ini. Ini niat tidak baik dan terlalu negatif kerana bagi kita SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah,” katanya.

Jelasnya lagi, banyak inisiatif di bawah SMJ yang sudah berjaya dilaksanakan termasuk bantuan kewangan untuk anak-anak Sabah melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah.

“Malah dalam tempoh lebih dua tahun memerintah, kerajaan negeri juga melakar banyak kejayaan dalam aspek ekonomi termasuk berkaitan perjanjian dengan Petronas yang menyaksikan Sabah menerima perkongsian kepentingan dalam beberapa projek syarikat minyak dan gas negara, di Sabah,” katanya

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah untuk menarik sokongan rakyat di seluruh negeri termasuk di kawasan Lamag dan Sukau.

“Gagasan Rakyat adalah parti tempatan yang kita tubuhkan untuk teruskan perjuangan di Sabah dan ia adalah ahli GRS kerana dalam GRS kita ada tujuh parti yang akan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah pada masa akan datang,” katanya.-SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top