Sabah Kembali Benarkan 50% Jemaah Di masjid, Surau Bermula Esok

jemaah.jpg
Kongsi Bersama

Sabah membenarkan kembali kehadiran 50% jemaah di masjid dan surau untuk solat Jumaat serta solat lima waktu berjemaah berkuat kuasa esok, kata jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Katanya, kebenaran itu hanya untuk individu yang lengkap vaksinasi, termasuk imam dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.

Masidi berkata, jumlah itu juga mengambil kira penjarakan fizikal satu meter seperti ditetapkan sebelum ini dengan setiap masjid dan surau diminta membuat penandaan jarak di antara jemaah bagi memudahkan pematuhan.

Beliau berkata, jemaah juga dikehendaki membawa sejadah sendiri, selain wajib memakai pelitup muka sepanjang masa dan mendaftarkan kehadiran sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara bertulis.

“Hanya jemaah yang masih dalam pemantauan, golongan berisiko tinggi, mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan alahan serta kanak-kanak bawah 12 tahun tanpa ditemani ibu bapa tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau.

“Sekiranya ada jemaah yang disyaki atau disahkan positif Covid-19, masjid atau surau terbabit perlu melakukan proses sanitasi penuh dan jemaah lain yang hadir pada hari berkenaan perlu melakukan saringan mengikut prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada 11 Feb lalu, kerajaan negeri mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mengehadkan semula kehadiran di masjid dan surau kepada maksimum 150 orang atau satu pertiga ruang lantai tertutup berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri ini.

Sementara itu, Sabah mencatat 3,971 kes baharu Covid-19, hari ini, dengan sembilan kes kematian iaitu tiga kes di Kota Kinabalu, diikuti dua kes di Penampang dan Sandakan, manakala masing-masing satu kes di daerah Beaufort dan Tawau. – FMT

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top