Sifar sekolah daif menjelang 2029, landskap baharu pendidikan Sabah

sekolah-keb-bangau2.jpg

Sekolah Kebangsaan Bangau-Bangau di Semporna, Sabah, yang dikelilingi oleh perumahan setinggan. Sekolah tersebut didapati kurang kondusif dan dikategorikan sebagai sekolah daif. - Gambar fail/BERNAMA

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Usaha mensifarkan sekolah daif dalam tempoh lima tahun menjelang 2029 merupakan antara aspirasi dideklarasikan Jabatan Pendidikan Sabah dalam membina landskap baharu pendidikan di negeri itu.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin berkata sembilan fokus strategik digariskan bagi merealisasikan hasrat itu, dengan satu daripadanya berkaitan komitmen mensifarkan sekolah daif, kerana menyedari prasarana sekolah lengkap dan kondusif penting dalam memperkasa pendidikan negeri.

Katanya langkah itu juga signifikan bagi memenuhi kehendak era Pendidikan Abad Ke-21, selain usaha jabatan menoktahkan pencapaian gred purata negeri dalam Sijil Pelajaran Malaysia daripada tahap 5 kepada sekurang-kurang 4.99, yang turut menjadi fokus strategik di bawah landskap baharu pendidikan berkenaan.

“Untuk mencapainya, bukan hanya memerlukan integriti atau kualiti guru terbaik, tetapi juga harus disokong oleh prasarana sekolah yang bagus,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Sabah bertekad melengkapkan kemudahan infrastruktur diperlukan di setiap sekolah di seluruh negeri termasuk menyediakan ruang serta suasana selesa kepada guru-guru dan para pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di dalam kelas.

Raisin berkata penekanan terhadap aspek itu wajar diberi perhatian kerana prasarana sekolah lengkap dan kondusif mampu menyokong peningkatan prestasi akademik dan kokurikulum pelajar menerusi penyediaan bilik khas, makmal sains dan reka bentuk teknologi, makmal sukan serta kemudahan lain mengikut piawaian.

Dalam konteks pembangunan prasarana sekolah di Sabah juga, Raisin berkata pihaknya berazam menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti yang dapat memenuhi keperluan dan permintaan penduduk setempat khususnya di kawasan padat dengan penduduk atau jauh dari lokaliti pekan mahupun bandar.

“Bangunan sekolah yang kondusif, lengkap dan selamat digunakan juga akan dapat memberi jaminan keselamatan kepada setiap warganya semasa berada dalam kawasan sekolah terutama ketika melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran atau kokurikulum,” jelasnya.

Mengulas lanjut usaha mensifarkan sekolah daif di Sabah, Raisin berkata Jabatan Pendidikan Sabah bersungguh-sungguh memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan di mana-mana jua sekolah di negeri ini yang belum lagi masuk dalam kategori skala enam atau tujuh.

“Ini bermaksud bangunan sekolah pada skala satu, dua, tiga, empat dan lima perlu diselenggara bagi memanjangkan hayat bangunan, dan apabila bangunan diselenggara, ini akan membantu memastikan sekolah terbabit tidak masuk dalam skala enam atau tujuh.

“Usaha ini kita buat bersungguh-sungguh mulai tahun ini. Kita harap dalam tempoh lima tahun tiada lagi sekolah daif di Sabah.. Sekarang, sekolah pada skala tujuh telah dikenal pasti dan sebahagian besar kerja-kerja pembaikannya sedang berlangsung dan ia berterusan,” katanya.

Pada 18 April lepas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam lawatan kerjanya ke siniberkata 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif di Sabah telah diselesaikan sehingga kini.

Menurutnya 60 projek pula sedang dalam proses pembinaan dan dijangka selesai tidak lama lagi, manakala baki 60 projek lagi sedang dalam peringkat prabina. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top