KUCHING: Fasa satu projek Lebuh Raya Pan Borneo kini sudah 86% siap, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada tahun ini, katanya, dijangkakan terdapat beberapa lagi seksyen lebuh raya itu akan dibuka dan tiga seksyen, iaitu di Sarikei, Bukit Begunan serta Lambir, dijangka siap tahun depan.
“Tiga seksyen itu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk cabaran di tapak yang memerlukan penelitian semula,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Libat Urus bersama Media Sarawak malam tadi.
“Malah ada juga yang memerlukan pengolahan semula reka bentuk kerana faktor keadaan muka bumi yang tidak sesuai.”
Fasa satu projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 786km dari Telok Melano ke Miri melibatkan kos RM16.117 bilion.
Sementara itu, Fadillah berkata, Kementerian Kewangan juga kini sedang memuktamadkan aspek perolehan bagi Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB). Peruntukan siling sebanyak RM12 bilion telah ditetapkan bagi kedua-dua projek itu, tambahnya.
“Kita juga harap dapat memuktamadkan penganugerahan kontrak kepada kontraktor tahun ini dan awal tahun depan projek ini akan dapat dimulakan.”
Pada 7 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah meluluskan Projek Fasa 2 SSLR serta Projek LTB, dan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan.
Ismail berkata, penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan masa selama tiga hingga lima tahun.
Katanya, projek itu bukan sahaja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.- BERNAMA