Bersikap Adil Dan Tegakkan Perlembagaan Mengenai Hak 40% Sabah – Jeffrey

jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan harus adil dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam mengembalikan 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Ke-10 dalam Perlembagaan dan semakan mandatori lima tahunnya di bawah Perkara 112D.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet Negeri mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hak Negeri, membuat gesaan itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jeffrey berkata Kerajaan Persekutuan juga harus menerima pakai pendirian yang sama berhubung pemulangan amaun yang adil dan saksama kepada Sarawak di bawah peruntukan Perlembagaan yang sama walaupun 40 peratus itu tidak diperuntukkan secara jelas seperti dalam kes Sabah.

Beliau menjawab laporan media bahawa Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang meminta Sabah membuat aduan ‘tulen’ kepada Perseketuan mengenai perkara itu dan beliau boleh memanggil mesyuarat untuk membincangkannya.

“Tidak kira apa pun pendapat dan oleh siapa, jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan asas untuk Sabah bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia, bahawa 40 peratus daripada hasil bersih yang diperolehi oleh Persekutuan sepatutnya dikembalikan kepada Sabah.

“Menteri Persekutuan, setiap ahli Kabinet Persekutuan dan setiap ahli Parlimen, telah mengangkat sumpah jawatan parlimen dan bersumpah, untuk menegakkan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, tiada isu dan tiada alasan untuk kerajaan Persekutuan tidak memulangkan 40% hasil yang diperoleh daripada Sabah. Lagipun, dalam mana-mana semakan mandatori di bawah Perkara 112D, kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan diimbangi dengan keperluan Negeri yang jauh lebih tinggi daripada kedudukan Persekutuan,” kata Jeffrey yang merupakan presiden Parti Solidariti Tanah Airku. .

Menurutnya, ia juga bukan alasan yang sah untuk kerajaan Persekutuan menafikan pengembalian 40% kepada Sabah atas dasar kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan tidak membenarkan pemulangan itu.

Barisan Nasional mengekalkan RM26.7 juta dari 1974 hingga 2018 dan diteruskan oleh kerajaan PH sehingga 2019. Pada tahun 2020 jumlah itu dinaikkan kepada RM53.4 juta.

Kerajaan GRS Sabah tidak bersetuju menerima RM53.4 juta dan ia disemak serta dinaikkan kepada RM125.6 juta untuk 2022 sementara menunggu rundingan lanjut mengenai jumlah akhir yang perlu dibayar.

Jeffrey turut meminta parti pembangkang Pakatan Harapan dan Warisan berhenti menipu rakyat Sabah tentang seruan mereka untuk meningkatkan jumlah perolehan 40 peratus sedangkan semasa berada dalam kerajaan, mereka mengecewakan rakyat Sabah dengan bersetuju membayar dan bersetuju menerima hanya RM53.4 juta.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top