Kerajaan Pusat rancang tubuh Majlis Penasihat Buruh Sabah

mustapha-sakmud.jpg

Datuk Mustapha Sakmud (Gambar fail)

Kongsi Bersama

TAWAU: Kerajaan Pusat dan Sabah bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Buruh Sabah (MPBS) yang akan dijadikan platform untuk menyalur pandangan serta khidmat nasihat mengenai isu sumber manusia di negeri ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata MPSB itu juga berperanan memberi cadangan berkaitan perkara-perkara perburuhan kepada kerajaan supaya dasar dan perundangan menjadi lebih bersesuaian dengan perindustrian Sabah.

“MPSB memainkan peranan untuk mengeratkan hubungan jabatan dan agensi dengan industri, selain perbincangan adalah secara tripartite iaitu kerajaan, majikan, dan pekerja, selari dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya semasa berucap merasmikan program kesedaran membanteras buruh paksa dan buruh kanak-kanak, di sini pada Ahad.

Selain itu, Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, pindaan Ordinan Buruh Sabah dijangka akan dibentangkan dalam sesi Parlimen yang diadakan bulan depan, dengan kerajaan Sabah bersetuju supaya pindaan kepada Ordinan Buruh Sabah dibuat sebagaimana Akta Kerja 1955 di Semenanjung.

Katanya, jika pindaan itu diluluskan, sudah pasti hak-hak dan faedah yang akan dinikmati oleh dua juta pekerja di Sabah menjadi sama sebagaimana yang dinikmati pekerja di semenanjung.

“Dengan pindaan Ordinan Buruh Sabah ini, ia sudah pasti akan menaikan imej negeri di peringkat antarabangsa, pindaan ini juga akan memudahkan Malaysia menembusi pasaran yang lebih besar melalui perjanjian Comprehensive and Progresive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) dan menarik lebih ramai pelabur luar,” tambahnya.

Sementara itu, Mustapha berkata, pembukaan Kota Nusantara di Kalimantan, Indonesia tahun depan akan memberi kesan yang besar kepada pola dan struktur ekonomi Sabah.

“Pembangunan mega Kota Nusantara dengan nilai projek yang diumumkan oleh kerajaan Indonesia bernilai RM135.5 bilion, dengan perancangan pembangunan sehingga tahun 2045 itu sudah pasti memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Kemungkinan penghijrahan pekerja dari Sabah secara besar-beraran terutama warga Indonesia yang sedang bekerja di Sabah akan berlaku, jika kita masih kekal dengan tawaran gaji yang tidak kondusif tanpa faedah yang menarik sudah pasti akan memberi kesan pengurangan tenaga kerja,” katanya lagi.

Katanya perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak dan satu exit policy yang jelas dengan perancangan rapi hendaklah dilaksanakan bermula sekarang. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top