Oleh: Musli Oli
1. Pada tahun 1965, KM Sabah, Donald Stephen menzahirkan rasa tidak puas hati kerajaan Sabah berhubung dengan keputusan Kerajaan Persekutuan menyingkir Singapura daripada Persekutuan Malaysia tanpa terlebih dahulu berunding dengan Sabah dan Sarawak. Sungguhpun tidak berpuas hati kerajaan negeri yang diketuai parti UPKO dalam Sabah Alliance Party tidak menyertai parti pembangkang.
2. Malah Donald Stephen kekal menyokong kerajaan Persekutuan dan Parti Perikatan pimpinan YTM Tunku Abdul Rahman Putra sungguhpun jawatan beliau sebagai KM Sabah diganti dengan Peter Lo dari SCA. Stephen mengambil alih jawatan Peter Lo sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah di peringkat Persekutuan.
3. Pada pilihan raya negeri pertama 1967, Donald Stephen yang juga Presiden UPKO sekali lagi kecewa kerana tidak dibenar bertanding dalam pilihan raya itu. Tunku Abdul Rahman Putra cuma janjikan jawatan Pesuruhjaya Tinggi Australia. Sungguhpun tidak berpuashati dengan arahan tersebut, Donald dan parti UPKO tidak keluar dari Perikatan atau menyertai parti pembangkang. Sebaliknya UPKO bertanding secara ‘friendly contest’ dengan USNO untuk merebut mandat mengetuai kerajaan negeri. Kedua-dua parti, USNO dan UPKO, adalah anggota Sabah Alliance Party yang diketuai Donald Stephen sendiri.
4. Senario politik agak berbeza semasa parti PBS mengetuai kerajaan negeri (1985-1994). Sungguhpun menjadi anggota BN tetapi hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan kurang baik. Hubungan pimpinan negeri dan pimpinan Persekutuan tidak mesra. Kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Mahathir kerap memberi tekanan kepada PBS. Akibatnya PBS mengambil keputusan keluar dari BN menjelang PRU 1990. PBS menyertai Angkatan Perpaduan Ummah yang diketuai Tengku Razaliegh Hamzah.
5. Pada pilihan raya negeri 1994, PBS telah menang tipis mengalahkan parti BN. Tetapi setelah beberapa orang ADUN parti itu menyertai parti komponen Barisan Nasional kerajaan PBS hilang majoriti dan menjadi parti pembangkang. Menjadi parti pembangkang bukanlah pilihan PBS pada ketika itu. Akhirnya pada tahun 2002 PBS kembali menyertai BN dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
6. Senario politik amat jauh berbeza bila parti WARISAN menjadi kerajaan negeri selepas PRU 2018. Walaupun bukan anggota komponen PH secara rasmi, Parti WARISAN menjalin kerjasama rapat dengan PH pada PRU 2018. Hubungan itu diteruskan bila PH menjadi kerajaan. Beberapa orang wakil rakyat WARISAN dilantik menganggotai kabinet Persekutuan.
7. Pemimpin parti WARISAN tidak pernah diberi tekanan politik seperti yang berlaku kepada Donald Stephen dan Pairin Kitingan. Parti WARISAN menjadi parti pembangkang adalah atas pilihannya sendiri bila parti itu tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tan Sri Muhyiddin dilantik menjadi PM ke 8 setelah Tun Mahathir meletak jawatan.
8. Berbeza keadaannya dengan UPKO dan PBS, parti WARISAN tidak pernah bersengketa dengan pucuk pimpinan kerajaan Persekutuan. Malah Tan Sri Muhyiddin sendiri mengakui mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan Datuk Seri Shafie Apdal.
7. Kenapa Warisan memilih untuk menjadi parti pembangkang? Kenapa Warisan memilih untuk menyokong Tun Mahathir walaupun dia telah meletakkan jawatan sebagai PM?
…bersambung
Komen