Jemaah Umrah Yang Bertolak Sebelum 28 Disember Dibenarkan Terus Masuk Ke Sabah

hajiji_noor_bernama2.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memutuskan bahawa rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021, sekembalinya ke Malaysia adalah dibenarkan meneruskan perjalanan masuk ke Sabah dan hendaklah menjalani kuarantin di Sabah, tertakluk kepada ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) yang disahkan negatif sebelum bertolak ke Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan menyediakan perkhidmatan doktor berdaftar bagi menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur secara percuma kepada rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan tempat penginapan kepada rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021 yang disahkan positif dan perlu menjalani tempoh kuarantin di Kuala Lumpur.

“Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah dan akan diselaraskan bersama dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur.

“Bagi rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara selepas 28 Disember 2021, sekembalinya ke Malaysia akan diwajibkan menjalani kuarantin 7 atau 10 hari di Kuala Lumpur,” kata beliau dalam kenyataan media pada Khamis.

Hajiji berkata, kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya adalah ditangung oleh para jemaah umrah atau agen pelancongan umrah masing-masing. (i.e. agen pelancongan umrah hendaklah memasukkan kos kuarantin termasuklah penginapan dan sebagainya dalam pakej umrah yang disediakan).

Katanya, kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya bagi rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang pulang kembali dari luar negara adalah atas tanggungan sendiri.

“Syarat-syarat kuarantin adalah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah dari masa ke semasa.

“Walau bagaimanapun, kemasukan individu ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada syarat-syarat Pihak Berkuasa Negeri yang sedia ada,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top