Maritim Malaysia rampas empat bot dalang bom ikan

bom-ikan.jpg

BOT yang ditinggalkan terapung oleh nelayan yang melarikan diri dengan terjun ke laut di perairan Tanjung Tabu- Tabu, Semporna semalam.-Ihsan Maritim Semporna

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Sekumpulan nelayan nekad terjun ke laut bagi melarikan diri ke daratan selepas aktiviti mengebom ikan yang dilakukan berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna.

Susulan itu, empat buah bot yang ditinggalkan bersama ikan yang ditangkap dipercayai hasil dibom telah dirampas di perairan Tanjung Tabu- Tabu, di sini kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kesemua bot itu dirampas ketika sedang melakukan aktiviti mengebom ikan.

Beliau berkata, semasa pasukan peronda maritim melakukan rutin rondaan di sekitar perairan berkenaan, anggota bot peronda Maritim Semporna berjaya mengesan empat buah bot yang tiada nombor pendaftaran sedang terapung di kawasan cetek dalam keadaan mencurigakan.

“Namun, semasa dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot bersama awak-awaknya nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan di dalam kesemua bot didapati sejumlah ikan yang dianggarkan hampir 50 kilogram keseluruhannya. Terdapat juga botol kaca mengandungi baja yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan dijumpai di atas dua buah bot yang dirampas.

“Nilai rampasan dianggarkan hampir RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Amir, Maritim Semporna tidak akan berkompromi dengan dengan mana-mana individu yang menjalankan aktivi pengeboman ikan kerana perbuatan itu bukan sahaja salah disisi undang- undang malah, boleh menjejaskan aktiviti pelancongan terutama penyelam skuba.

Aktiviti sebegitu juga akan memberi kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga boleh menyebabkan kecederaan parah dan kematian.

Jelas beliau, Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan jenayah.

Justeru, orang ramai terutamanya komuniti maritim diminta agar menyalurkan maklumat dan aduan kepada Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

Sumber: UTUSAN

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top