Christina Sangkal Dakwaan Shafie PH Tidak Perjuang Hak Sabah

christina-shafie.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew menyangkal dakwaan Presiden Parti Warisan yang juga bekas ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa gabungan itu tidak melakukan apa-apa untuk hak Sabah.

Beliau turut menolak dakwaan menghalang Shafie daripada memberi tekanan kepada kerajaan PH ketika itu untuk menuntut hak Sabah bagi 40% hasil negeri.

Liew yang merupakan timbalan Shafie dalam kerajaan negeri pimpinan Warisan pada masa itu berkata, dakwaan presiden Warisan itu tidak berasas dan hanya “propaganda” untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Pemimpin yang bertanggungjawab tidak patut mereka-reka cerita untuk mengelirukan pengundi. Warisan tidak patut menyalahkan PH atas ketidakmampuannya berjuang mendapatkan hak Sabah,” kata bekas ketua PKR Sabah itu.

Sabtu lalu, Shafie mendakwa PH Sabah tidak menyokong langkah menuntut semula 40% hasil negeri, dan Liew berkata, ia adalah “arahan parti”.

Shafie turut mendakwa PH Sabah mengikut arahan pemimpin parti mereka, bukannya suara rakyat Sabah, serta samannya terhadap Putrajaya berhubung pembahagian hasil 40% sekadar publisiti.

Menolak dakwaan itu, Liew berkata,”Kami memohon pengisytiharan bahawa formula 40% bahagian hasil, seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), masih terpakai dan boleh dikuatkuasakan. Saman kami terhadap Putrajaya bukan aksi untuk mendapatkanpublisiti seperti yang didakwa (oleh Shafie).”

Jun lalu, 12 wakil rakyat PH di Sabah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, memohon deklarasi bahawa formula 40% pemberian hasil negeri, seperti ditetapkan dalam Perjanjian Malaysia 1963, masih terpakai.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa semakan semula geran tahunan Putrajaya kepada Sabah patut dilakukan pada 1974, dan semakan pada 2022 – diumumkan bersama oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah pada April lalu – tidak berperlembagaan.

Mac lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mendedahkan formula 40% tidak lagi terpakai.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top