500 Penduduk Tuntut Penjelasan Isu Tanah Adat

tanah-adat.jpg

Hishamuddin (tengah) mengetuai perarakan untuk menghantar surat kepada Bernard (kanan) hidi pekarangan Pejabat JTU Sabah, Kota Kinabalu.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kira-kira 500 penduduk membabitkan lapan kampung di tiga daerah berarak sejauh 500 meter hingga bangunan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS) di sini bagi menuntut penjelasan berhubung isu tanah adat mereka.

Penduduk Kampung Koyoon, Kainggalan, Tonomon, Kukuamas, Bigor dan Bukokoh itu turut membawa memorandum berkenaan pelbagai isu tanah, termasuk pembatalan geran komunal bagi enam kampung di Nabawan.

Turut termasuk pembatalan permohonan tanpa sebab bagi tanah Kampung Madai Baturung, Kunak selain, mahu tahu status permohonan tanah di Kampung Montoki, Ranau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perarakan itu diketuai pihaknya bertujuan menuntut penjelasan pihak berkuasa.

“Kita menghargai usaha pengarah JTUS kerana sudi meluangkan masa dan bertemu terus dengan penduduk kampung yang datang hari ini.

“Surat-surat juga sudah diserahkan terus kepada beliau dan kita memberi masa 14 hari untuk pihaknya menyatakan jawapan serta penjelasan.

“Harus ada pencerahan… jangan biar orang tertanya-tanya sehingga penduduk membuat aduan dan kita terpaksa menjadi pihak yang bersuara,” katanya ketika ditemui pada sidang media pada Selasa.

Menurutnya, perkara itu bukan isu politik sebaliknya membabitkan kebajikan rakyat dan pihaknya akan membawa masalah itu ke peringkat lebih tinggi sekiranya masih tiada penyelesaian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Bernard Liew Chau Min berkata, akan turun padang bertemu penduduk kampung pada Ramadan nanti dan perjumpaan akan diatur untuk penjelasan mengenai kes dinyatakan.

“Perkara ini ada yang membabitkan pihak ketiga dan kita bimbang mungkin ada salah faham, jadi pertemuan akan diatur.

“Perkara ini boleh diselesaikan dengan rundingan yang baik, malah kita di pihak kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan tanah adat orang kampung dan tidak akan membatalkan permohonan tanpa sebarang alasan,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top