KOTA BELUD: Seorang lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di sebuah jeti di Kampung Rampaian Laut di sini masih belum ditemukan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 malam pada 22 September lepas.
Katanya, saksi kejadian memberitahu sempat melihat mangsa disambar buaya semasa menjalankan aktiviti memancing.
Menurutnya, mangsa yang berumur 20 tahun itu masih belum ditemukan setakat jam 2 petang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan semaam.
“Operasi SAR dibahagikan kepada enam kumpulan membabitkan kawasan sekitar sehingga jarak 17 kilometer.
“Pasukan bomba turut dibantu pihak polis dan juga orang kampung dengan menggunakan bot serta dron,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, jarak keseluruhan pencarian SAR hari keempat memasuki kawasan sekitar 17 kilometer dengan beberapa teknik pencarian antaranya ‘surface water searching’, pencarian di kawasan paya bakau serta pemantauan udara. – Utusan Borneo