Tiada Laporan Beli Minyak ‘Bersyarat’ Di Sabah

minyakmasak.jpg

(Gambar hiasan)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tidak ada laporan setakat ini berhubung isu peniaga meletakkan syarat untuk pembelian minyak masak di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya berkata, bekalan minyak masak di negeri ini masih mencukupi.

Justeru katanya, tidak ada aduan daripada pengguna berhubung tindakan peniaga yang meletakkan syarat supaya membeli barangan lain seperti gula untuk membeli minyak masak.

“Setakat ini tiada aduan kita terima mengenai tindakan peniaga meletakkan syarat untuk membeli minyak masak.

“Bagaimanapun, kita akan terus memantau isu ini dari semasa ke semasa. Kita tahu memang ada had dua paket sahaja untuk pembelian minyak masak bersubsidi,” katanya.

Shahelmey

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya isu mengenai tindakan peniaga meletakkan syarat untuk pembelian minyak masak di Sabah hari ini.

Shahelmey berkata, bekalan minyak masak paket bersubsidi ada kalanya mengalami kekurangan tetapi tidak kritikal dan hanya berlaku dalam tempoh sehari atau dua hari sahaja.

Sehubungan itu, pihaknya meminta agar pengguna membeli minyak masak paket bersubsidi untuk kegunaan sendiri memandangkan ada juga peniaga-peniaga kecil menggunakan minyak bersubsidi untuk perniagaan.

Sebelum ini, ada dakwaan mengenai tindakan premis perniagaan di beberapa daerah di sebuah negeri di Semenanjung yang mewajibkan pembelian gula untuk membeli satu paket minyak masak.

Terdahulu, Shahelmey mengiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merasmikan Program Pelancaran Siaran Ulang Siar Bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Pasar Besar di sini. – Utusan Borne0

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top