Pesta Kaamatan: Enam Unduk Ngadau dimahkotakan di Semenanjung Malaysia

Joanna-Kitingan.jpg

Joanna Kitingan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Unduk Ngadau, pertandingan ratu cantik tradisi diadakan ketika Pesta Kaamatan sering berkait rapat dengan Sabah namun ramai tidak mengetahui ia turut diadakan dan dimahkotakan di Semenanjung Malaysia sejak 21 tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Sabah Joanna Kitingan berkata enam Unduk Ngadau peringkat cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Semenanjung Malaysia telah dimahkotakan iaitu Lembah Klang, Putrajaya, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata enam itu, bersama masing-masing satu Unduk Ngadau peringkat cawangan KDCA di Labuan dan Sarawak, serta 41 dari peringkat daerah Sabah akan bersaing dalam Unduk Ngadau Sabah 2024 peringkat akhir diadakan di Penampang pada 31 Mei ini.

“Tahun ini Unduk Ngadau sudah menjangkau usia 64 tahun diadakan sejak 1960, manakala untuk Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia) kali pertama diadakan 2003 libatkan cawangan KDCA Lembah Klang. Jadi sebenarnya sudah 21 tahun diadakan di sana, negeri lain dalam enam dan tujuh tahun.

“Ini memperlihatkan Unduk Ngadau dan Pesta Kaamatan ini mampu menjadi simbol perpaduan selain merapatkan persahabatan. Ini juga membolehkan mereka di luar dari Sabah memahami budaya dan tradisi di sini untuk kita raikan secara bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Unduk Ngadau, diadakan setiap kali sambutan Pesta Kaamatan yang dulunya dikenali sebagai ratu pesta menuai warisan Kadazan Dusun kini berkembang menjadi pertandingan mempamerkan kepelbagaian budaya serta warisan di Sabah, dan perpaduan rakyat berbilang latar belakang.

Personaliti terkenal negara Daphne Iking berasal dari Keningau, Sabah merupakan pemenang pertama Unduk Ngadau peringkat cawangan KDCA Lembah Klang pada 2003 manakala Carol Abbey Gail dari Papar adalah pemenang Unduk Ngadau Sabah 2023.

Setakat ini di luar Sabah, Romandawi Gapari dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau cawangan KDCA Johor untuk tahun ini, Allvera Azerra Jaunik (KDCA Putrajaya), dan Qheesthyna Issandra Ladzrus (KDCA Sarawak).

Joanna berkata pertandingan Unduk Ngadau di Semenanjung Malaysia diadakan apabila terdapat rakyat Sabah terutama daripada etnik Kadazan Dusun di perantauan mahu bersama meraikan Pesta Kaamatan di kawasan tempat tinggal mereka.

“Mereka berkahwin campur dengan rakyat berbilang latar belakang di Malaysia ada India, Cina… tetapi mereka masih sayang dengan tradisi dan warisan Sabah ini. Jadi yang menyertai pertandingan ini adalah keturunan mempunyai latar bekalang rakyat Malaysia di Timur dan Barat.

“Asalkan mereka ada sikit keturunan ini (Kadazan Dusun) dari Sabah boleh turut bertanding. Selain itu keperluan utama mereka perlu tahu bertutur bahasa ibunda mereka di Sabah seperti Kadazan, Dusun atau juga bahasa lain kerana kita mementingkan warisan dan tradisi,” katanya.

Beliau berkata kesemua 49 peserta mula berkumpul di Sabah pada 26 Mei ini untuk beberapa acara awal dan taklimat lanjut, sebelum pertandingan peringkat akhir di Penampang pada 31 Mei bagi merebut hadiah berjumlah lebih RM100,000.

“Kita sebenarnya melihat mereka semua ini seperti anak kita sendiri, bila mereka datang berkumpul di sini kita amat gembira. Kita ambil peluang mengajar mereka tentang tradisi dan juga mahu mereka berjaya dalam kehidupan serta menjadi contoh untuk anak muda luar sana,” katanya.

Ditanya tentang kemungkinan Unduk Ngadau turut diadakan di luar negara pada masa hadapan, Joanna berkata terdapat minat daripada rakyat Malaysia berketurunan etnik Sabah dalam pertandingan itu antaranya Australia dan berbesar hati jika ia dapat diadakan di sana.

“Rakyat kita di luar negara mahu sambut Pesta Kaamatan bersama-sama, jadi memang mereka mahu adakan acara sama seperti kita di sini seperti Sugandoi (nyanyian lagu dalam bahasa etnik Sabah), juga Unduk Ngadau. Kita harap jadi kenyataan nanti untuk kita pamer budaya dan tradisi kita di sana,” katanya.

Pesta Kaamatan tahun ini bertemakan ‘Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan’ telah dilancarkan pada 1 Mei di daerah Ranau dan diadakan di daerah-daerah secara bergilir sehingga acara kemuncak di Penampang, dan hari ini giliran daerah Kudat menjadi tuan rumah untuk pesta itu. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top