Warisan Telah Kenal Pasti Calon Untuk PRU15 – Shafie

shafie-apdal-1.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) telah mengenal pasti calonnya untuk pilihan raya umum akan datang, termasuk sekiranya DUN Sabah dibubarkan.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata mereka sudah bersedia dan sudah mengenal pasti calon mereka untuk semua kerusi Parlimen yang akan ditandingi.

“Kita juga sudah mengenal pasti calon kita untuk negeri ini sekiranya DUN Sabah dibubarkan serentak (dengan pilihan raya umum),” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan di Lahad Datu pada Sabtu.

Pilihan raya negeri Sabah hanya akan diadakan pada 2025 kerana pilihan raya terakhir diadakan pada September 2020 dengan kerajaan semasa diketuai oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional Sabah.

Shafie berkata mereka telah bekerja di lapangan dan bersiap sedia untuk pilihan raya sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata keutamaan Warisan adalah untuk meletakkan calon berwibawa yang boleh diterima rakyat.

Beliau berkata parti itu percaya orang ramai akan mengundi calon dan bukannya parti.

Sambil menolak cakap-cakap yang Warisan bekerjasama dengan parti lain, beliau berkata: “Kami percaya bekerjasama dengan rakyat bukannya bekerjasama dengan parti.

“Saya percaya dalam pilihan raya akan datang, sekurang-kurangnya 60% rakyat akan mengundi calon dan bukan parti sahaja.

“Pilihan raya baru-baru ini di Johor dan pilihan raya mengejut Sabah sebelum ini (2020) menyaksikan calon bebas menang.

“Ia menunjukkan orang ramai tidak melihat kepada parti sahaja tetapi kepada calon.

“Saya percaya trend pengundian adalah untuk calon dan tidak semestinya parti,” katanya.

“Kita lihat kerjasama dengan rakyat lebih penting daripada kerjasama dengan parti lain, kerana rakyat menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan,” katanya.

Shafie juga berkata fokus Warisan adalah untuk memastikan parti itu diperkukuhkan, terutama selepas beberapa ahlinya, termasuk wakil rakyat berpaling tadah.

“Walaupun kita ingin mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan parti lain, kita hanya boleh melakukannya apabila kita berada dalam kedudukan yang lebih kuat, bukan ketika kita lemah,” katanya.

Shafie kini dalam jelajah politik di pantai timur negeri ini untuk bertemu rakyat.

Beliau berada di Semporna pada hari Jumaat dan dijadualkan berada di Tawau dan Kalabakan pada hari ini sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang pilihan raya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top