MEMBAKUT: Lebih 3,000 rumah khususnya penduduk beragama Islam di daerah ini menerima sumbangan sempena Program Ziarah Ramadan tahun ini.
Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, aktiviti tahunan itu melibatkan sumbangan barangan keperluan, sejadah, surah Yasin dan buah kurma.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut ini berkata, turut disampaikan penyerahan kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Menurutnya, tahun lepas sebanyak 15 rumah PPRT diperuntukkan untuk daerah ini dan sebahagian besarnya sudah siap dibina dan diserahkan kepada penerima sempena Krismas lepas.
“Menjelang Aidilfitri ini, sebanyak lapan rumah lagi akan diserahkan kepada penerima.
“Selain rumah PPRT, kerajaan turut memberi bantuan untuk membaiki rumah dan untuk tahun ini, kita mengenal pasti senarai pemohon yang memerlukan rumah melalui eKasih.
“Semua permohonan yang dikenal pasti disemak dan diselaraskan oleh Pejabat Daerah,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan sempena Program Ziarah Kasih dan penyerahan kunci rumah PPRT di Kampung Kitana dekat sini semalam.
Beliau berkata, program ziarah itu melibatkan lebih 30 penerima dan aktiviti berkenaan dijalankan di beberapa kawasan terpilih.
Dalam pada itu, Mohd Arifin turut meminta Pejabat Daerah untuk mengenal pasti jalan yang perlu dinaik taraf di kampung berkenaan untuk kemudahan penduduk sekitar.
Katanya, permohonan untuk peruntukan membaiki jalan terutama di beberapa kampung di daerah ini sudah dikemukakan kepada pihak berkenaan.
Sehubungan itu, pihaknya akan mencari jalan yang sewajarnya bagi memastikan keadaan jalan di kawasan berkenaan dapat dinaik taraf.
Ditanya mengenai status gerai-gerai jualan di tepi jalan Kampung Binsulok dekat sini, beliau menjelaskan perkara itu sudah dirujuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kita mahu ubah suai gerai di kawasan itu tetapi kalau ikut peraturan, JKR memang tidak benarkan kerana melibatkan aspek keselamatan.
“Kalau dibenarkan sudah lama kita buat gerai, namun mengikut undang-undang, tidak dibenarkan mendirikan gerai di kawasan bahu jalan.
“Kita juga sudah buat gerai yang sesuai di kawasan bawah tetapi mereka (peniaga) lebih selesa di tempat yang ada,” jelasnya.
Beliau juga meminta pihak Pejabat Daerah supaya berbincang dengan masyarakat terlibat berhubung isu itu kerana ia melibatkan isu keselamatan.
Pihaknya berharap ada jalan penyelesaian dari kedua-dua pihak kelak.
Berita asal: Utusan Borneo
Foto: FB Arifin Arif