Sook bakal jadi daerah penuh tahun ini

ellron.jpg

Ellron ketika meninjau Tamu Sabtu Kampung Binuwou Tengah (Kredit foto: FB Ellron Angin)

Kongsi Bersama

SOOK: Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berharap daerah kecil Sook akan dapat diwartakan sebagai daerah penuh tahun ini.

Menurut beliau Sook kini telahpun memenuhi syarat-syarat untuk menjadi sebuah daerah penuh.

“Kita sebenarnya sudah layak untuk menjadi salah satu daerah penuh, dan saya difahamkan tahun ini, dalam masa yang terdekat, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan membawa perkara ini ke Jemaah Menteri untuk membentangkan kelulusan dan seterusnya mengisytiharkan Sook sebagai daerah penuh,” kata beliau ketika ditanya oleh pemberita.

Terdahulu, beliau hadir di Kampung Binuwou Tengah bagi menyempurnakan perasmian Tamu Sabtu Kampung Binuwou Tengah.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa bangga terhadap usaha mewujudkan Tamu Sabtu di kampung itu kerana ia membolehkan penduduk kampung tersebut dan kampung-kampung berdekatan untuk berniaga dan memasarkan produk mereka sekali gus meningkatkan tahap ekonomi mereka.

Selain itu beliau berharap agar tamu itu dapat diteruskan serta dimajukan agar ia menjadi satu medium penting bagi warga kampung untuk menjana pendapatan.

Di samping itu, beliau juga akan sedaya memenuhi hasrat para peniaga yang memohon agar beberapa gerai lagi dibina di kawasan tamu berkenaan.

“Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk keselesaan para peniaga di tamu ini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis perasmian itu Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tony Talasoi, dan Ketua Kampung Binuwou Tengah Norhaidar Kasiman.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top