KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet Sabah masih tidak dapat menghentikan krisis politik di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan krisis politik di Sabah masih tidak dapat diselesaikan dan sentiasa akan terus bergolak selagi rakyat negeri itu tidak mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintah ketika ini.
“Umno ini memang selalu berhadapan dengan cabaran dan dugaan tanpa ada nokhtah. Kita yakin bahawa kemelut politik ini selalu kita selesaikan kerana Umno mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan isu seumpama ini.
“Saya meminta ahli-ahli Umno di Sabah supaya ikut keputusan parti iaitu mendengar apa jua yang telah dinyatakan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk kita bertenang sebab setiap satu persoalan itu akan ada jawapannya,” jelas bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah I itu ketika ditemui media di World Trade Centre (WTC), pada Jumaat.
Jelas Bung Moktar lagi, krisis politik Sabah memang tidak boleh selesai walaupun kini dalam tempoh bertenang ekoran pergolakan masih belum tamat.
Hal ini katanya, pembentukan kerajaan di peringkat awal adalah dari Umno dan Perikatan Nasional (PN) dan ini juga menjadi satu persoalan.
“Tak mengapalah, orang main politik, kita pun main politik,” ujar ADUN Lamag itu lagi.
Pun begitu Bung Moktar menegaskan, gerakan Umno Sabah bukannya ke arah mengguling kerajaan sedia ada.
“Guling dengan membentuk kerajaan, lain. Guling ini berniat jahat tujuan kita ni nak perbetulkan hala tuju politik supaya rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu untuk dibangunkan.
“Guling ini bermakna membinasakan.. ada definasi berbeza, kita bukan mahu mengguling, kita mahu menentukan supaya rakyat Sabah mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintah ketika ini,” tegas beliau.