Pendaki Kinabalu OKU Challenge 2022 Berjaya Tawan Puncak Kinabalu

pendaki-OKU.jpg

Enam pendaki OKU yang menyertai ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022 ketika tiba di Taman Kinabalu sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022, 30 Ogos 2022. --fotoBERNAMA

Kongsi Bersama

RANAU: Seramai 22 peserta termasuk enam pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) bagi Ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022 berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu awal pagi semalam sempena Hari Kebangsaan 2022.

Peserta ekspedisi anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu tiba di puncak gunung setinggi 4,095 meter itu antara jam 5.45 pagi hingga 6.30 pagi secara bergilir dan mengakhiri pendakian mereka di Timpohon Gate antara jam 4.30 petang hingga 7 malam tadi.

Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM, Prof Madya Dr Zulkifli Hasan, yang mengetuai ekspedisi itu, berkata pendakian Gunung Kinabalu bermula pagi Selasa itu amat mencabar bagi orang biasa justeru keupayaan enam pendaki OKU menyempurnakan pendakian adalah sesuatu yang amat luar biasa.

“Malah ada peserta terjatuh dan mengalami luka-luka kecil tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan pendakian dan mencapai misi sampai ke puncak,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Gunung Kinabalu terletak di Banjaran Crocker, kira-kira 86 kilometer (km) dari Kota Kinabalu dan pendakian ke puncak gunung itu adalah sejauh 8.7km.

Sementara itu, pendaki OKU penglihatan, Ahmad Danial Mohd Sani, berkata peluang untuk menawan puncak Gunung Kinabalu merupakan kenikmatan yang diberikan Allah.

“Sebenarnya nikmat ini tidak pernah saya idamkan selama ini, pertama kali sampai menikmati keagungan ciptaan-Mu,” kata pelajar Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Quran dan Sunnah) UIAM.

Beliau dalam nada sebak mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan ekspedisi yang membantunya menjayakan misi pendakian itu.

— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top