KOTA KINABALU: Usaha bagi meningkatkan laluan udara dan industri pelancongan di negeri ini semakin baik selepas syarikat penerbangan Shanghai Airlines memulakan penerbangan terus ke Kota Kinabalu, semalam.
Shanghai Airlines adalah syarikat penerbangan kedua yang berpangkalan di China membuat penerbangan terus ke Kota Kinabalu, selepas kejayaan operasi China Southern Airlines pada April lalu.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerjasama dengan syarikat penerbangan itu adalah langkah penting dan tepat.
Katanya, ia satu langkah bagi memupuk hubungan antarabangsa yang lebih kukuh dan dapat membuka peluang baharu dalam pertumbuhan ekonomi serta pertukaran budaya.
“Sabah mengharapkan impak positif daripada penerbangan ini bagi mempromosikan pelancongan, perdagangan dan persefahaman budaya antara kedua-dua wilayah.
“Saya sangat berbangga dengan kehadiran 159 penumpang dalam penerbangan sulung Shanghai Airlines ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, Shanghai Airlines akan membuat penerbangan antara laluan Shanghai dan Kota Kinabalu setiap hari bagi memudahkan semua pengembara.
Terdahulu, pada April lalu, China Southern Airlines menyambung semula penerbangan terus dari Guangzhou ke Kota Kinabalu.
Susulan itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew bersama pegawai kementerian menaiki pesawat tersebut dalam lawatan rasminya ke China.
Dalam lawatan itu, Christina mengadakan perbincangan bersama pegawai kerajaan China berkaitan pelancongan dan peluang baharu yang boleh diteroka bersama. – Utusan Borneo