PAWE Berperanan Membina Kesejahteraan Warga Emas

shahelmey.jpg
Kongsi Bersama

KUALA PENYU: Kesejahteraan dan pembangunan warga emas penting sebagai persiapan pada masa akan datang, demikian kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Ini menurut beliau sejajar dengan unjuran bahawa Malaysia akan menjadi negara warga tua menjelang 2030.

Jelasnya, kerajaan telah merangka pelbagai dasar bagi mempersiapkan negara ke arah itu.

“Mengikut unjuran, memang Malaysia akan mencapai taraf negara warga tua di mana lima belas peratus daripada jumlah penduduknya akan mencapai umur 60 tahun ke atas.

“Dengan itu kerajaan telah merangka dasar-dasar untuk mensejahterakan warga emas.

“Menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan persatuan-persatuan berkaitan warga emas adalah antara usaha kerajaan dalam persediaan menjadi negara warga tua,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan PAWE paling aktif di Malaysia Tahun 2021 di PAWE Kuala Penyu tengah hari tadi.

Menurut Shahelmey, PAWE merupakan satu pusat yang baik di mana warga emas dapat melakukan aktiviti-aktiviti bagi mengisi masa lapang.

“Selepas bersara pada umur 60 tahun, warga emas perlu membuat aktiviti yang baik, sihat dan efektif bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental mereka,” katanya.

Sebagai rekod, PAWE merupakan sebuah pusat yang menggalakkan aktiviti seperti program keagamaan, kraftangan, rekreasi, terapi dan pemulihan, ceramah kesihatan dan beberapa lagi aktiviti yang membabitkan warga emas.

PAWE Kuala Penyu merupakan antara 5 daripada 143  PAWE yang aktif di Malaysia. PAWE tersebut juga mendapat johan dan naib johan dalam pertandingan Azan dan Doa serta naib johan dalam pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat negeri Sabah dan Program Kalam Jaddi peringkat kebangsaan  tahun ini.

Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Pengarah Yayasan Kebajikan  Sabah Dayang Rugayah Awang Besar, Pegawai Daerah Kuala Penyu Sebastian Ingkim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU dan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah Zulkiflie Hassan dan Pengerusi PAWE Kuala Penyu.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top