Arifin Minta JHEAINS Siasat Dakwaan Terdapat Pengikut Ajaran Sesat PMYT di Sabah

ariffin.jpg
Kongsi Bersama

MEMBAKUT: Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) supaya melakukan siasatan bagi menangani isu ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang didakwa mempunyai pengikut di negeri ini.

Jelas Arifin, walaupun pihak JHEAINS belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu di negeri ini, namun pihaknya akan membuat siasatan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menanganinya.

“Setakat ini kita belum menerima sebarang laporan mengenai ajaran sesat itu di Sabah. Namun saya telah mengarahkan JHEAINS supaya melakukan siasatan terhadap perkara ini dan sekiranya dakwaan itu benar, kita akan megambil tindakan yangn sewajarnya, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang ditugaskan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kesenian Islam Membakut.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut diminta mengulas mengenai dakwaan yang menyatakan terdapat pengikut ajaran sesat PYMT di negeri ini susulan penahanan seorang wanita bernama ‘Sittah Annur’ di ibu negara pada 4 September lalu.

Sebelum ini, tular di laman sosial kumpulan ajaran sesat terbabit mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.

Wanita terbabit turut mendakwa memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh dan mempunyai keistimewaan meramal masa depan.

Terdahulu, Arifin turut berkesempatan menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 26 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir di Membakut berjumlah RM500 setiap KIR sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Membakut. – Utusan Borneo

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top