Ghapur Gesa SPRM Siasat Kes ADUN Kukusan Lompat Parti

ghapur.jpg

Ghapur (gambar fail)

Kongsi Bersama

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyiasat kes lompat parti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal dari Parti Warisan ke Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN), seperti yang disiarkan oleh media pada Ahad.

Mantan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, siasatan perlu dilakukan bagi memeriksa jika unsur rasuah berlaku yang menyebabkan wakil rakyat tersebut mengambil tindakan sedemikian.

“Tindakan melompat parti ini adalah satu pengkhianatan kepada rakyat yang telah memilihnya dalam pilihan raya lalu. Saya minta SPRM buat siasatan jika berlaku unsur rasuah di antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Rina yang menjelaskan tindakannya itu adalah kerana ingin lebih fokus berkhidmat di kawasannya, Ghapur berpendapat yang alasan itu adalah tidak relevan kerana sebagai wakil rakyat yang telah dipilih, beliau sememangnya harus melaksanakan khidmatnya dengan terbaik berdasarkan mandat yang diberikan.

“Adakah bermaksud kalau dia tidak lompat parti dia tidak lagi boleh berkhidmat dengan terbaik untuk rakyat di kawasannya?”.

“Kita tidak mahu setiap kali pilihan raya, datanglah calon-calon yang berkempen kononnya mahu membela rakyat, tapi apabila menang, akhirnya mengkhianati rakyat kerana mudah dibeli.”

“Saya tidaklah pula katakan beliau ‘dibeli’, tapi alasan yang diberikan agak meragukan dan sebab itulah kita mahu siasatan segera dilakukan oleh SPRM untuk mengetahui perkara sebenar,” katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada media.

Presiden HARAPAN, Tan Sri Liew Yun Fah dalam satu sidang media pada Sabtu mengumumkan bahawa Rina kini menyertai parti itu dan keluar dari Parti Warisan.

Untuk rekod, Rina berjaya memenangi kerusi Kukusan pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada 2020 dengan majoriti 10 undi setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chaya Sulaiman. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top