Ewon Bayangkan Tandingi Kerusi Presiden UPKO

ewon-bennedick.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick bersedia menawarkan rekod kepimpinan dan perkhidmatan beliau di Kadamaian kepada ahli-ahli parti apabila membuat keputusan untuk memilih pimpinan parti tersebut.

“Saya tidak mencabar kepimpinan sesiapa, tetapi saya ingin menawarkan rekod kepimpinan saya di Kadamaian kepada ahli-ahli parti. Sekiranya mereka merasakan rekod ini boleh diangkat menjadi inspirasi baharu kepada parti, dan jika mereka merasakan masanya sudah tiba, saya bersedia mengambil cabaran tersebut,” katanya.

Ewon menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan di Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Kota Belud yang bersidang di Dewan Kadamaian Square, Taginambur di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin.

“Banyak spekulasi mengatakan saya ada pengumuman pada hari ini. Maka terpulanglah kepada ahli-ahli parti, khususnya Bahagian-Bahagian UPKO untuk menterjemahkan kenyataan saya hari ini. Saya bersedia menyahut cabaran sekiranya Bahagian-Bahagian mahu saya menerajui parti ini.

“Konsultan terbaik adalah ahli-ahli parti. Maka saya ingin mengajak pimpinan UPKO untuk mendengar pandangan dan teguran ahli-ahli parti dan juga rakyat. Jika majoriti ahli parti mahukan penjenamaan parti dipakejkan dengan transisi kepimpinan, maka kita harus peka dan ambil tindakan progresif berkaitannya.

“Kita tidak boleh bertanding dalam pilihanraya jika ahli-ahli parti di Bahagian berpecah dan meninggalkan parti. Kita tidak akan dapat bersaing dengan blok politik kerajaan jika kita tidak dapat berupaya mencetuskan inspirasi baharu yang dapat membina semula sokongan kepada parti ini,” katanya.

Ewon menyatakan kenyataan tersebut sudah cukup jelas untuk diterjemahkan oleh ahli-ahli UPKO semasa pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan pertandingan jawatan Presiden UPKO akan melihat pertandingan di antara penyandang sekarang Datuk Seri Panglima Madius Tangau dengan Ewon.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top