LABUAN: Sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang membuang sampah sesuka hati adalah punca utama pencemaran Sungai Gersik, di sini.
Pemangku ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan (LC), Rithuan Ismail berkata sungai itu telah diisytiharkan sebagai sungai terpelihara oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kita telah melaksanakan program pembersihan secara besar-besaran dengan kerjasama Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS tetapi malangnya sikap tidak berhati perut sesetengah pihak menjadi punca utama pencemaran sungai.
“Kita tidak boleh biarkan sungai terus tercemar, jadi kita tiada pilihan selain melaksanakan program pembersihan semula bersama JPS.
“Kami optimis dapat membersihkan sungai dengan kaedah tradisional memungut sampah dengan menggunakan boom, tetapi tindakan tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai perlu segera dihentikan,” katanya.
Rithuan juga menggesa penduduk tempatan untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa tempatan dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan, kerana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang didapati membuang sampah di kawasan awam di bawah Undang-undang Kecil (Anti-Sampah) 1992.
“Sikap malas masyarakat yang menyerahkan seluruh tugas memelihara dan memulihara sungai-sungai kita kepada pihak berkuasa akan sedikit sebanyak mengubah nasib sungai-sungai yang kini hampir tidak bernyawa ini.
“Setiap sampah yang dibuang sembarangan oleh masyarakat akan dihanyutkan ke dalam sistem perparitan sebelum terapung ke kolam tadahan, kemudian anak sungai dan sungai, dan akhirnya, ke laut,” katanya.
Rithuan berkata sejumlah besar peruntukan perlu dibelanjakan untuk membersihkan Sungai Gersik, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan sungai itu.
Seorang ahli perniagaan tempatan, Roger Leong, 46, yang menjalankan perniagaan berhampiran sungai itu berkata, aduan mengenai sungai yang tercemar telah menimbulkan kebimbangan terhadap psikosis dalam kalangan orang ramai.
“Melihat individu membuang air besar di sungai adalah memualkan. Setiap hari semasa saya menunggang di jalan raya di sepanjang tebing sungai, saya muak dengan pemandangan itu kerana sampah juga dibuang ke dalam sungai, dengan bau busuk yang lebih menjijikkan.
“Saya harap ada tindakan pihak berkeaan untuk membetulkan keadan ini…denda yang tinggi mesti dikenakan kepada mereka yang membuang sampah dan membuang air besar di sungai,” katanya.
Beliau mencadangkan agar Sungai Gersik dibersihkan dan dipagar supaya sampah tidak dapat dibuang ke dalam sungai. – Bernama