KAB-Petronas Gas Miliki Bersama Dan Laksana Loji RM230 Juta Di Sabah

KAB-Petronas.jpg

Foto: Keng Onn (dua dari kiri) pada majlis memeterai kerjasama antara KAB dan Petronas Gas – Foto ihsan KAB

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) dan Petronas Gas Bhd telah menjalin usaha sama untuk memiliki bersama dan melaksanakan projek loji janakuasa bernilai RM230 juta di Sabah yang akan menjadi pembekal tenaga tunggal kepada kemudahan gas asli cecair terapung dekat pantai Petronas.

KAB dalam kenyataannya pada Khamis berkata, anak syarikat milik penuhnya KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) menandatangani perjanjian pembelian saham untuk mengambil alih 10 peratus kepentingan dalam anak syarikat Petronas Gas, Regas Terminal (Lahad Datu) Sdn Bhd (RGTLD), yang bertanggungjawab untuk memiliki dan menjalankan projek loji janakuasa itu.

KAB Energy juga telah menandatangani perjanjian pemegang saham dengan Petronas Gas untuk mengambil alih peranan rakan kongsi teknikal dalam usaha sama itu.

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pemilikan dan pengusahaan bersama projek tenaga bersih utama ini dengan Petronas Gas menyerlahkan keupayaan mereka dalam ruang penyelesaian tenaga mampan.

“Kami berharap dapat berkongsi kepakaran kami dengan Petronas Gas untuk menjayakan loji janakuasa ini dan menyumbang kepada matlamat tenaga negara.

Ia juga akan menjadi model pembangunan ketika kami meneruskan lebih banyak projek di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

RGTLD akan memiliki pemilikan aset itu apabila disasarkan siap pada suku pertama 2026. RGTLD akan memeterai perjanjian pembelian kuasa untuk membekalkan kuasa kepada kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai yang akan datang di Sipitang, Sabah dalam tempoh konsesi 20 tahun.

Keng Onn berkata, sementara menunggu permulaan operasi loji kuasa, KAB akan mengiktiraf pendapatan daripada peranannya sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya. – Bernama

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top